[TERKINI] Syed Saddiq Dilepas dan Dibebaskan | Mahkamah Rayuan Ketepikan Sabitan Kes Dana Armada – Klik untuk Laporan Penuh
MALAYSIA

Tiga rakan bebas tuduhan edar dadah

Bernama 25/06/2025 | 09:00 MYT
Mahkamah Tinggi membebaskan tiga lelaki daripada pertuduhan mengedar 1.14 kg kanabis, selepas pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie. - Foto Bernama
IPOH: Tiga rakan yang berdepan pertuduhan mengedar 1.14 kilogram dadah jenis kanabis enam tahun lepas dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Ringkasan AI
  • Mahkamah Tinggi membebaskan tiga lelaki daripada pertuduhan mengedar 1.14 kg kanabis, selepas pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie termasuk identiti dadah dan percanggahan berat.
  • Kesalahan didakwa berlaku pada 17 November 2019 di Taman Pinji Seni, di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit.
  • Hakim mendapati elemen utama tidak dapat dibuktikan, termasuk isu ketara iaitu perbezaan berat hampir 90 gram, menyebabkan ketiga-tiga tertuduh dibebaskan serta-merta.

Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Mohd Nazreen Hazim Abdullah Satar, 35, Mohd Suhaimi Ahmad, 42, dan Muhammad Shafiq Shamsuddin, 38.
"Oleh itu, ketiga-tiga tertuduh dibebas dan dilepaskan daripada pertuduhan itu," katanya dalam penghakiman ringkasnya.
Bhupindar Singh berkata pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen penting pertuduhan, termasuk identiti dadah serta percanggahan dalam berat, dengan perbezaan ketara kira-kira 90 gram.
Tiga lelaki itu didakwa bersama-sama mengedar kanabis berkenaan di sebuah rumah di Laluan Pinji Seni 4, Taman Pinji Seni di sini, kira-kira 7.45 malam, 17 Nov 2019.
Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum gantung dikenakan sebatan tidak kurang 12 sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Khazrin Haffiz Khalil manakala peguam Ranjit Singh Sandhu mewakili Mohd Nazreen Hazim, peguam Charan Singh mewakili Mohd Suhaimi dan peguam V. Santhiran mewakili Muhammad Shafiq.
-- BERNAMA
#tiga rakan bebas #tuduhan edar dadah #Mahkamah Tinggi Ipoh #gagal membuktikan kes prima facie