PARIT BUNTAR: Tiga remaja lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Parit Buntar pada Jumaat atas pertuduhan merogol seorang remaja perempuan berusia 14 tahun pada awal Februari lalu.
Dua daripada tertuduh berusia 17 tahun dan seorang lagi 15 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Salwa Asmary Abdul Rahim.
Advertisement
Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga remaja berkenaan yang masih bersekolah didakwa secara berkumpulan merogol mangsa di sebuah rumah di dalam daerah Kerian sekitar jam 2 pagi.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak melebihi 30 tahun, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Amirah Nabihan Syahrir mencadangkan jaminan sebanyak RM1,000 bagi setiap tertuduh bersama syarat tambahan tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Tertuduh diwakili peguam Mohd Sariman Mat Serat memohon jaminan dikurangkan dengan mengambil kira faktor musim perayaan yang bakal tiba serta memerlukan persiapan kewangan keluarga.
Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM500 bersama syarat tambahan seperti yang dikemukakan pihak pendakwaan.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada April depan. -Sinar Harian