KUALA LUMPUR: Tiga sahabat berdepan hukuman mati selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kangar, hari ini atas tuduhan mengedar dadah jenis ganja di Kuala Perlis, 13 Mei lalu.

Tertuduh, Shamil Saadin, 37, Muhamad Shahrul Nizam Shafii, 26, dan Marhafiz Maidinsha, 28, hanya mengangguk faham selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Kamaliza Md Zain.

Berdasarkan kertas pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa mengedar dadah jenis ganja seberat 190.9 kilogram di pelantar Kampung Bukit Tok Po, Kuala Perlis kira-kira jam 4 pagi 13 Mei lalu.

Kesemua mereka didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39B (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta yang sama dan dibaca bersama mengikut Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum dengan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang 15 sebatan.

Pendakwaan dilaksanakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Jodia Por Yi Tying manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 23 Julai hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pada hari raya pertama Aidilfitri lalu, enam individu termasuk seorang wanita ditahan selepas polis menjumpai 190.9 kilogram ganja dianggarkan bernilai RM477,250 dalam sebuah bot di jeti haram di Kuala Perlis, Perlis

Penahanan suspek termasuk ketua sindiket berkenaan dilakukan selepas rondaan mengesan bot jenis fiber terbabit ditinggalkan dalam keadaan mencurigakan di jeti haram di Kuala Perlis, awal pagi Aidilfitri lalu.