Tiga sahabat nyaris maut kereta terhumban dalam belukar

Adie Sufian Zulkefli
Disember 8, 2019 06:48 MYT
Kesemua mangsa berjaya dikeluarkan dengan bantuan penduduk kampung. - Foto ihsan JBPM
Tiga sahabat nyaris maut apabila kereta kereta Perodua Myvi yang dinaiki terhumban ke dalam belukar selepas terbabas berhampiran lampu isyarat Batu 17, Jitra, pagi tadi.
Bagaimanapun dalam kemalangan itu salah seorang daripada mereka mengalami kecederaan parah di bahagian tangan selain luka pada kepala dan badan.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain, pihaknya menerima panggilan jam 9.46 pagi berhubung kemalangan itu.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Kayu Hitam tiba di lokasi mendapati kereta Myvi terbabit gagal membrek lalu terus terjunam ke dalam belukar yang curamnya 0.5 meter.
Katanya, kesemua mangsa berjaya dikeluarkan dengan bantuan penduduk kampung.
Mangsa merupakan lelaki dan seorang wanita yang sedang dalam perjalanan ke pekan Jitra untuk membeli barang.
Mohamadul Ehsan berkata, dalam kemalangan itu, hanya seorang daripada mereka patah tangan manakala mangsa yang lain tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Jitra untuk mendapat rawatan lanjut.
#BBP Bukit Kayu Hitam #Hospital Jitra #Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia #JBPM Kedah #kemalangan #Perodua Myvi #terhumban dalam belukar #tiga sahabat nyaris maut