Tiga sekeluarga maut dalam kemalangan kereta dan lori balak di Gua Musang

Muhafandi Muhamad
Mac 28, 2016 03:17 MYT
Tiga beranak berkenaan dalam perjalanan pulang ke Gua Musang selepas menghadiri kenduri perkahwinan di Kota Bharu.
Tiga sekeluarga maut dalam satu kemalangan melibatkan kereta dengan lori balak di Jalan Gua Musang-Kuala Krai berhampiran Paloh 1, Gua Musang, Kelantan.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang Ahad itu, Mohd Firas Ziyad, 6 bulan, bersama ibunya Faizah Mohd Nor, 28 tahun maut di tempat kejadian manakala pemandu kereta, Mohd Zahiruddin Hadi, 24, meninggal dunia pagi tadi.
Tiga beranak berkenaan dalam perjalanan pulang ke Gua Musang selepas menghadiri kenduri perkahwinan adik lelaki Faizah di Pulau Condong, Kota Bharu.
Kemalangan dipercayai berlaku selepas kereta yang dipandu Mohd Zahiruddin hilang kawalan lalu merempuh sebuah lori muatan balak dari arah bertentangan.
Kemalangan menyebabkan muatan balak jatuh di atas jalan raya , menyebabkan kesesakan lalu lintas selama beberapa jam.
Ketua polis Gua Musang Superintendan Saiful Bahri kertika dihubungi memberitahu siasatan nahas masih lagi dijalankan.
#Faizah Mohd Nor #Gua Musang #kemalangan #lori balak #Mohd Firas Ziyad #Mohd Zahiruddin Hadi