Tiga sekeluarga maut, kereta bertembung, berpusing dan terbalik di Machang

Muhafandi Muhamad
Februari 22, 2018 02:44 MYT
Tiga sekeluarga maut setelah kenderaan jenis perodua Alza dinaiki dirempuh sebuah kenderaan secara berhadapan dari arah bertentangan. - Foto Jabatan Bomba dan Penyelamat
Tiga sekeluarga maut setelah kenderaan jenis perodua Alza dinaiki dirempuh sebuah kenderaan secara berhadapan dari arah bertentangan di Kilometer 33, Jalan Kota Bharu - Kuala Krai Labok, di sini pagi tadi.
Mangsa, Siti Nur Alyaa Izzati Shaikh Rahim, 23 tahun dan bapanya, Shaikh Rahim Shaikh Abdullah, 56 tahun meninggal dunia di tempat kejadian. Manakala ibu mangsa, Tengku Fariza Tuan Mat, 52 tahun meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Machang.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Dzulkifli Ab Ghani berkata, dalam kejadian 1.23 pagi itu, mangsa dalam perjalanan dari arah Kuala Krai telah bertembung dengan sebuah kenderaan jenis Mitsubishi Triton dari arah bertentangan.
"Pertembungan telah menyebabkan kenderaan yang dipandu mangsa berpusing dan terbalik.
"Bedah siasat akan dilakukan di Hospital Machang pagi ini, " katanya.
Tambahnya, kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) APJ 1987 melibatkan dua buah kenderaan dan tiga mangsa meninggal dunia.
#Hospital #kereta bertembung #Kota Bharu #Kuala Krai #mangsa #maut #meninggal dunia #polis