KUALA KANGSAR: Tiga suspek yang ditahan bagi membantu siasatan kes rompakan membabitkan barang kemas bernilai RM1.4 juta di tempat letak kereta di hadapan sebuah kedai emas di sini, minggu lalu disambung reman.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, reman semua suspek berusia antara 20 hingga 50 tahun selama tujuh hari sebelum ini telah tamat pada Isnin.

"Semua suspek disambung reman selama tujuh hari lagi sehingga 20 November depan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

"Perkembangan kes itu akan dimaklumkan sebaik siasatan lengkap nanti," katanya ketika dihubungi di sini.

Sinar Harian melaporkan, polis berjaya menahan tiga lelaki dipercayai terlibat dalam kes rompakan itu di sebuah lokasi di Shah Alam, Selangor sekitar jam 2.10 petang selepas hampir tiga jam kejadian dilaporkan.

Semasa tangkapan dilakukan, barang kemas bernilai RM1.4 juta yang dilarikan tidak dijumpai.

Kes disiasat bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan dengan bersenjata.

Dalam kejadian 6 November itu, polis menerima maklumat berlaku rompakan pada jam 11.22 pagi melibatkan sekumpulan lelaki bersenjatakan parang dan tukul.

Suspek dikatakan memakai sarung muka telah bertindak memecahkan cermin kereta dinaiki dua jurujual syarikat emas yang membawa barang kemas tersebut.

Insiden rompakan itu sempat dirakam seorang pengguna jalan raya sebelum tular di media sosial. - Sinar Harian