Skip to main content

Dunia

Tiga suspek tembakan di Konsulat AS ditahan

Police salute during a procession with the body of Toronto Police Const. Marc Pinizzotto, who was killed in the line of duty, at the Chief Coroner's office in Toronto, Thursday, June 11, 2026. (Sammy Kogan/The Canadian Press via AP)
Seorang pegawai polis maut ditembak dalam serbuan berkaitan kes itu di Toronto awal bulan ini. - Gambar fail/ AP
Advertisement

TRENTON (KANADA): Tiga lelaki yang terlibat dalam rangkaian jenayah penembak upahan yang didakwa bertanggungjawab terhadap insiden tembakan di Konsulat Amerika Syarikat (AS) di Toronto dan beberapa rumah ibadat Yahudi telah ditahan, kata Ketua Polis Toronto Myron Demkiw pada sidang media Selasa.

Dengan bantuan Polis Berkuda Diraja Kanada (RCMP) dan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) AS, polis Toronto berjaya merampas sepucuk pistol 9 milimeter yang dipercayai digunakan dalam enam kejadian tembakan serta sepucuk pistol berkaliber .45 yang didakwa digunakan dalam 21 insiden tembakan, lapor Anadolu Ajansi.

Demkiw berkata kedua-dua senjata api itu dibawa masuk ke Kanada dari AS merentasi sempadan kedua-dua negara.

Polis melaksanakan lima waran geledah berisiko tinggi di Toronto awal bulan ini. Seorang pegawai polis maut selepas dipercayai ditembak oleh seorang lelaki berusia 19 tahun yang kini berdepan pertuduhan membunuh.

Menurut akhbar Globe and Mail, insiden tembakan itu melibatkan bangunan milik sebuah syarikat pengurusan sisa Kanada, kediaman persendirian dan syarikat perkhidmatan tunda. 

Keganasan berterusan berlaku susulan persaingan antara syarikat tunda untuk menguasai pasaran dan mendapatkan kontrak perkhidmatan yang lumayan.

Pendakwa raya AS percaya insiden tembakan di konsulat dilakukan oleh seorang pengganas Iraq yang dikaitkan dengan Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC). Individu itu ditahan di Turkiye dan kini berada dalam tahanan AS, menurut laporan akhbar berkenaan.

Bagaimanapun, Demkiw enggan mengulas dakwaan berkaitan keganasan itu.

Selain pertuduhan membunuh, suspek yang didakwa dalam kes kematian pegawai polis berkenaan turut berdepan enam lagi pertuduhan.

Seorang lagi suspek berusia 18 tahun ditahan pada Jumaat berhubung insiden tembakan di konsulat dan berdepan 11 pertuduhan termasuk mencuri kenderaan serta memiliki dan melepaskan tembakan menggunakan senjata api secara haram.

Lelaki ketiga yang ditahan pula berdepan tujuh pertuduhan termasuk memiliki senjata api dan/atau peluru.

Menurut Demkiw, pihak berkuasa masih memburu seorang lelaki keempat yang didakwa terlibat dalam insiden tembakan di konsulat itu.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement