Tiga syarikat cadang bergabung bangunkan projek 'sky train' di Sabah - Bung Mokhtar

Bernama
April 16, 2021 23:05 MYT
BUNG MOKTAR: Pembinaan 'sky train' itu akan menjadi tarikan baharu kepada industri pelancongan di Sabah. - Facebook Bung Moktar Radin
KOTA KINABALU: Tiga syarikat termasuk sebuah syarikat antarabangsa berminat untuk bergabung bagi membangunkan projek 'sky train' di Sabah dalam usaha meningkatkan sistem pengangkutan awam di negeri itu.
Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata tiga syarikat berkenaan ialah Guancai (M) Sdn Bhd, China State Construction Engineering (M) Sdn Bhd dan Vizione Development Sdn Bhd.
"Memang ada beberapa pelabur tempatan dan luar negara seperti dari negara China yang menyatakan minat untuk membangunkan projek ini secara inisiatif pembiayaan swasta (PFI)," katanya dalam satu kenyataan, di sini, pada Jumaat.
Bung Moktar yang juga menteri kerja raya Sabah bagaimanapun meminta syarikat berkenaan agar mengadakan perbincangan dengan lebih terperinci bersama agensi kerajaan yang terlibat, khususnya apabila membabitkan isu pengambilan tanah sebelum cadangan itu dibawa ke kabinet negeri untuk dibincangkan.
Menurutnya, melalui pembinaan 'sky train' itu ia akan menjadi tarikan baharu kepada industri pelancongan di Sabah dan pada masa yang sama dapat menarik lebih banyak pelabur masuk ke negeri tersebut.
Bung Moktar sebelum ini telah mengutarakan cadangan pembinaan sky train itu yang akan menghubungkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKI) dengan ibu negeri serta kawasan sekitarnya.
--BERNAMA
#pelancongan #sky train #Bung Moktar Radin #sistem pengangkutan awam #China State Construction Engineering #Guancai #inisiatif pembiayaan swasta #PFI