[TERKINI] Najib Razak Dilepas Tanpa Bebas dalam Kes SRC RM27 Juta – Ikuti Perkembangan di Sini
NATIONAL

Tiga syarikat pengauditan 1MDB akan dipanggil untuk prosiding PAC

Hilal Azmi 25/05/2015 | 08:35 MYT
Nur Jazlan turut mengesahkan penangguhan prosiding yang melibatkan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda dan juga Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrul Ibrahim Halmi yang dijadualkan esok. - Gambar Fail
Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan mengambil keterangan dari tiga buah syarikat yang membuat pengauditan ke atas akaun syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Menurut Pengerusinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed, syarikat Deloitte, KPMG dan Earnst & Young bakal dipanggil untuk memberi keterangan dalam prosiding siasatan terhadap 1MDB.
Terdahulu, Nur Jazlan turut mengesahkan penangguhan prosiding yang melibatkan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy dan juga Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrul Ibrahim Halmi yang dijadualkan esok.
Ketiga-tiga syarikat terbabit katanya adalah saksi penting dalam prosiding itu.
Shahrul merupakan Ketua Pegawai Eksekutif pertama 1MDB sejak Februari 2009 sehingga Mac 2013, manakala Arul Kanda dilantik awal Januari tahun ini.
"Penangguhan ini tidak bermakna bahawa prosiding ini dilewatkan dan saya minta kedua-dua CEO ini tampil di hadapan jawatankuasa ini secepat mungkin," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara di Parlimen.
BACA: Terlalu awal untuk buat kesimpulan tentang 1MDB - PAC
BACA: Najib yakin kerajaan mampu ambil langkah kurangkan hutang 1MDB
BACA: 1MDB: KSU Perbendaharaan akan beri kerjasama penuh kepada PAC
Dalam pada itu, PAC turut memaklumkan telah menerima surat makluman daripada Kementerian Kewangan pada Jumaat lepas bahawa prosiding 1MDB pada esok hari terpaksa ditangguhkan berikutan Arul Kanda dan Shahrul tidak dapat hadir kerana mempunyai urusan di luar negara pada hari berkenaan.
Nur Jazlan berkata pihak jawatankuasa telah mengadakan perbincangan berhubung perkara itu dan bersetuju dengan penangguhan tersebut.
"Mereka (Arul Kanda dan Shahrul) telah meminta penangguhan selama 30 hari, tetapi kami mahu mereka datang secepat mungkin. Kami mahu berlaku adil kepada mereka (bersedia dengan maklumat dan dokumen berkaitan) sebelum hadir.
"PAC mahu prosiding ini berjalan dengan teratur dan mempunyai kredibiliti selain tiada persoalan sekiranya penjelasan dan maklumat yang diberikan tidak lengkap," katanya.
Beliau berkata PAC akan menghantar semula surat panggilan secara rasmi kepada Kementerian Kewangan selaku Pegawai Pengawal terhadap syarikat 1MDB untuk Arul Kanda dan Shahrul hadir semula di hadapan jawatankuasa itu.
Sebelum ini, syarikat 1MDB hebat dikritik pelbagai pihak termasuk menimbulkan pelbagai persoalan dalam beberapa aspek pelaburan yang dibuat oleh syarikat pembangunan strategik itu yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan Malaysia.
#Ambrin Buang #Dewan Rakyat #Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara #Ketua Audit Negara #PAC #Parlimen