MALAYSIA

Tiga tahun cipta lagu tema HKHM: Affan semai semangat cinta negara melalui muzik

Bernama 02/08/2025 | 02:50 MYT
Lagu tema HKHM 2025 bertajuk "Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni" ciptaan Affan nyanyian Siti Nurhaliza mendapat pujian daripada Perdana Menteri dan Menteri Komunikasi. - Gambar Bernama
JOHOR BAHRU: Tiga tahun berturut-turut diberi kepercayaan mencipta lagu tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM), meletakkan nama Affan Mazlan sebagai antara komposer muda paling konsisten dalam menyemai semangat patriotik dan cinta kepada negara melalui karya muzik.

Affan, 25, berkata, pengalaman mencipta lagu tema sejak 2023 telah mengubah perspektif dirinya terhadap nilai perpaduan dan kekayaan budaya yang dimiliki rakyat Malaysia, sekali gus menjadikan beliau lebih menghargai semangat kenegaraan.

"Bila setiap tahun saya diberi amanah ini, saya semakin teruja dan secara jujurnya semangat patriotik itu makin kuat dalam diri saya.

"Harapan saya, rakyat Malaysia pun rasa benda yang sama untuk sambut Hari Kebangsaan dengan jiwa yang penuh cinta pada negara," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Lagu tema HKHM 2025 bertajuk "Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni" diperkenalkan secara rasmi buat pertama kalinya pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 yang berlangsung di Dataran Tanjung Emas, Muar pada Ahad (27 Julai).

Menariknya, lagu mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk menghayati nilai murni konsep Malaysia MADANI yang menekankan pembangunan berteraskan nilai kemanusiaan, kesejahteraan sosial, dan keadilan dinyanyikan oleh penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Lagu tersebut mendapat pujian daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, yang menyifatkannya sangat catchy dan merdu.

Menceritakan lanjut tentang perkara itu, Affan berkata, ini merupakan tahun ketiga berturut-turut beliau diberi tanggungjawab mencipta lagu tema rasmi HKHM, selepas menghasilkan lagu "Tekad Perpaduan Penuhi Harapan" pada 2023 dan "Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka" pada 2024.

Untuk tahun ini, Affan mengambil pendekatan berbeza dengan mengetengahkan genre lagu rakyat dan elemen tradisional pelbagai kaum, berbanding pendekatan moden dan korporat seperti sebelum ini.

"Matlamat saya untuk tahun ini ialah mengetengahkan perpaduan. Lagu ini sarat dengan elemen budaya Melayu seperti caklempong, serunai dan inang; sitar bagi mewakili kaum India; tarian naga untuk kaum Cina; dan juga budaya etnik Sabah dan Sarawak seperti Iban dan Kadazan," katanya.

Menurut anak kelahiran Seremban, Negeri Sembilan itu, proses mencipta lagu selama dua bulan bersama pasukan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Pengarah Muzik, Datuk Mokhzani Ismail, turut membuka ruang untuk beliau mendalami budaya kaum lain secara langsung.

"Dalam usaha untuk saya terapkan elemen muzik pelbagai kaum, secara tak langsung saya belajar sekali budaya dan unsur seni mereka. Secara tidak sedar, itu sebenarnya menyemai semangat patriotik dalam diri saya sendiri," katanya.

Antara cabaran utama ialah memadatkan pelbagai elemen budaya ke dalam sebuah lagu berdurasi kira-kira tiga minit, agar mesej perpaduan dapat sampai secara tersusun dan mudah difahami oleh masyarakat.

"Korus lagu ini bersifat sangat menyatukan, tetapi bahagian verse dan bridge saya susun elemen budaya satu persatu. Bila orang nyanyi lagu ni, mereka akan perasan betapa unik dan majmuknya budaya kita," katanya.

Affan turut berkongsi bahawa antara bahagian paling menyentuh hati ialah penggunaan lirik yang "mesra rakyat", termasuk istilah sapaan seperti "hai" dan "eh" serta segmen dikir barat yang menyerlahkan semua budaya.

"Saya paling suka bahagian dikir barat, sebab saya highlight semua budaya dalam satu ruang. Kudos juga kepada Datuk Seri Siti Nurhaliza yang membawakan lagu ini dengan sangat cantik dan penuh jiwa," katanya.

Beliau berharap karya itu dapat menarik minat generasi muda untuk mengenali muzik tradisional serta menghargai warisan seni tempatan yang masih relevan dalam menzahirkan semangat kenegaraan.

-- BERNAMA



#Hari Kebangsaan #Harimau Malaysia #lagu tema #Malaysia MADANI Rakyat Disantuni #Affan Mazlan