MALAYSIA

Tiga tahun dan tikar sejadah, Najib kongsi rasa di balik tirai besi

Astro Awani 23/08/2025 | 00:30 MYT
Kata Najib, hanya doa keluarga serta rakyat yang mendoakannya menjadi sumber kekuatan untuk terus tabah. - Gambar Facebook Najib Razak
KUALA LUMPUR: Genap tiga tahun berlalu sejak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dipenjarakan, beliau tampil meluahkan perasaannya menerusi sebuah penulisan berbentuk nukilan puitis yang dikongsikan kepada umum.

Dalam coretan itu, Najib menggambarkan suasana kehidupannya di balik tirai besi – dari laungan azan Subuh yang sayup kedengaran hingga ke dingin lantai simen yang hanya beralas tikar sejadah, menjadi saksi doa dan sujudnya saban hari.

Beliau menyifatkan tikar sejadah sebagai ‘teman setia’ yang menemaninya ketika bermunajat mencari ketenangan, tempat mengadu dan ruang untuk meluahkan segala kepahitan.

“Luka dan parut di hati, hanya Allah yang tahu, hanya Allah yang mengerti,” tulisnya.

Najib dalam penulisan itu turut menyatakan bahawa doa keluarga serta rakyat yang mendoakannya menjadi sumber kekuatan untuk terus tabah.

“3 tahun berlalu… doa keluarga, doa saudara saudari semua memberi harapan, menjadi sumber kekuatan,” katanya.

Nukilan itu diakhiri dengan keyakinan bahawa akan tiba masanya keadilan ditegakkan, walaupun beliau tidak menyebut bilakah saat yang dimaksudkan.

“3 tahun berlalu… tikar sejadah menjadi teman. Saat itu pasti tiba. Bila….” tulis Najib di akhir nukilan tersebut.

#Najib Razak #Najib dipenjara #tikar sejadah #Penjara Kajang