MALAYSIA

Tiga tahun Kerajaan MADANI pulih keyakinan rakyat, fokus pembangunan jangka panjang - Ahmad Zahid

Bernama 03/12/2025 | 15:55 MYT
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan itu dibentuk pada saat negara berdepan ketidaktentuan politik dan ekonomi serta keperluan mendesak untuk memulihkan kestabilan nasional. - Foto Facebook Zahid Hamidi
KUALA LUMPUR: Tiga tahun pentadbiran Kerajaan MADANI dilihat berjaya menetapkan semula haluan negara, memulihkan keyakinan rakyat dan mengembalikan fokus kepada agenda pembangunan jangka panjang yang lebih inklusif serta berpaksikan kesejahteraan rakyat walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran.


Ringkasan AI
  • Kerajaan MADANI berjaya menetapkan semula haluan negara, memulihkan keyakinan rakyat, dan fokus kepada agenda pembangunan inklusif untuk kesejahteraan rakyat, walaupun dihadapi pelbagai cabaran.
  • Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah gerakkan lebih RM7.7 bilion dalam tiga tahun, merapatkan jurang pembangunan bandar-desa, memastikan kemudahan moden setara, dan meningkatkan ekonomi desa.
  • Program Pendidikan dan Latihan TVET menunjukkan kejayaan kukuh, dengan peningkatan kebolehpasaran graduan hingga 95.1%, kemasukan pelajar meningkat, serta melahirkan huffaz cilik dan pelajar berkemahiran yang ramai.


Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan itu dibentuk pada saat negara berdepan ketidaktentuan politik dan ekonomi serta keperluan mendesak untuk memulihkan kestabilan nasional.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata keutamaan kementerian adalah untuk memastikan pembangunan desa tidak tertinggal, malah diangkat sebagai pemacu utama pertumbuhan negara.

"KKDW (Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah) telah menstruktur semula ekosistem pembangunan desa dengan pendekatan yang lebih strategik, bersepadu dan berimpak. Usaha ini diterjemahkan melalui pelaksanaan infrastruktur asas merangkumi jalan, air, elektrik, kemudahan sosial dan prasarana desa.

"Lebih RM7.7 bilion telah digerakkan dalam tempoh tiga tahun bagi merapatkan jurang pembangunan bandar dan desa serta memastikan masyarakat luar bandar menikmati kemudahan moden yang setara," katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Pada masa yang sama, Ahmad Zahid berkata transformasi modal insan melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menunjukkan keberhasilan yang kukuh apabila kebolehpasaran graduan institusi itu meningkat kepada 95.1 peratus berbanding 9.45 peratus tahun sebelumnya, manakala kemasukan pelajar melonjak kepada 212,022.

Beliau berkata Program Pra-Tahfiz Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) telah melahirkan 52,000 huffaz cilik, manakala TVET Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan TVET Teknopreneur mengeluarkan lebih 800,000 pelajar berkemahiran.

Selain itu, Timbalan Perdana Menteri berkata sebanyak 420 pelajar Orang Asli kini melangkah ke universiti sekali gus menjadi suatu pencapaian tertinggi dalam sejarah pentadbiran negara.

"Ekonomi desa turut menunjukkan peningkatan memberangsangkan. MARA, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) berjaya melahirkan 7,000 usahawan baharu, menjana 15,000 peluang pekerjaan dan mencatat nilai jualan melebihi RM1.77 bilion.

"Malaysia turut mengukuhkan kedudukannya dalam industri halal global melalui MIHAS@Shanghai 2025, yang menghimpunkan 200 reruai, 250 syarikat dan merekodkan transaksi lebih RM3.2 bilion, selari dengan aspirasi Halal Industry Master Plan 2030," katanya.

Dalam aspek kesiapsiagaan bencana, Ahmad Zahid berkata Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) kini mengoperasikan 1,798 stesen hidrologi telemetri, 197 kamera pemantauan serta 36 model ramalan banjir di bawah Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB) yang menggunakan pendekatan hidrodinamik.

Selain itu, sebanyak 614 siren amaran banjir awal turut dipasang di kawasan berisiko tinggi bagi memastikan makluman segera kepada penduduk.

Beliau berkata kerajaan juga dalam usaha untuk memperkasakan Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara 2030 yang dibangunkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) pada tahun lepas, dengan pembangunan Pelan Tindakan Kebangsaan selain menggesa kerajan negeri membangunkan Strategi dan Pelan Tindakan Pengurangan Risiko Bencana Peringkat Negeri.

Sehubungan dengan itu, Ahmad Zahid berkata semua pencapaian itu membuktikan kestabilan politik ialah prasyarat kepada kemajuan dan agenda pembangunan desa serta pendidikan TVET adalah komponen strategik dalam mendaya Malaysia menjadi negara yang lebih makmur, sejahtera dan berdaya saing.

"Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga kerja, penjawat awam dan rakyat Malaysia atas kepercayaan yang berterusan kepada Kerajaan Perpaduan.

"Insya-Allah, amanah ini akan terus kami galas dengan penuh tanggungjawab agar Malaysia terus melangkah ke hadapan sebagai negara yang stabil, makmur dan dihormati," katanya.

-- BERNAMA

#Kerajaan Madani #Ahmad Zahid Hamidi #keyakinan rakyat #pembangunan jangka panjang