MALAYSIA
Tiga termasuk warga emas ditahan kes ugutan terhadap pemimpin negara

M Kumar berkata, siasatan terhadap kes berkenaan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bukit Aman. - Gambar fail
KUALA LUMPUR : Tiga lelaki termasuk seorang warga emas berusia 69 tahun ditahan dalam tiga insiden berasingan melibatkan penularan video serta kenyataan berbaur hasutan dan ugutan jenayah yang dikesan di media sosial baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, siasatan terhadap kes berkenaan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bukit Aman.
Menurutnya, kes pertama yang dikesan pada Isnin lalu melibatkan akaun Facebook Jibbie Sahaq yang memuat naik komen berunsur hasutan sehingga menggugat ketenteraman awam selain mengandungi ugutan jenayah terhadap pemimpin negara.
Kata beliau, kes kedua pula berlaku pada Khamis membabitkan seorang lelaki warga emas berusia 69 tahun yang menyampaikan ucapan berunsur hasutan dan ugutan jenayah dalam satu insiden di Kampung Sungai Baru, di sini."Pada hari sama, satu lagi kes dikesan melibatkan akaun Facebook Ayien Rose yang memuat naik komen berbentuk ugutan jenayah terhadap pemimpin negara selain kenyataan yang boleh menimbulkan kegentaran awam.
"Ketiga-tiga individu berusia 27, 35 dan 69 tahun itu kini disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 506 dan 507 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.
Tegas Kumar, polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan platform media sosial untuk menyebarkan kenyataan berunsur hasutan, ugutan jenayah atau provokasi yang boleh menjejaskan ketenteraman awam serta keselamatan negara.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar lebih bertanggungjawab dalam menggunakan media sosial serta sentiasa menghormati undang-undang yang berkuat kuasa.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami