Tiga warga Thailand mengaku salah seludup diesel

Adie Sufian Zulkefli
November 29, 2022 06:06 MYT
Salah seorang daripada warga Thailand yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret 1 dan 2, Kangar, hari ini atas pertuduhan menyeludup keluar diesel bersubsidi dari negara ini pada Jumaat dan Sabtu lalu.
KANGAR: Tiga lelaki warga Thailand dihadapkan ke Mahkamah Majistret 1 dan 2, Kangar, hari ini atas pertuduhan menyeludup keluar diesel bersubsidi dari negara ini pada Jumaat dan Sabtu lalu.
Ketiga-tiga tertuduh, Theerapong Wongyai, 25, Anan Pusu, 28 dan Amnuaprasit Chaiwichit, 42, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Thailand oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Siti Norhasliza Md Ali dan Majistret Ana Rozana Mohd Nor.
Dalam prosiding pertuduhan di Mahkamah Majistret 1, Theerapong yang berasal dari Padangbesa, Sadao didakwa mengisi bahan api diesel dalam tangki asal kenderaan pacuan empat roda Nissan Navara yang didaftarkan di Thailand bagi maksud supaya barangan itu dibawa keluar dari Malaysia melalui darat seperti yang dinyatakan dalam ruang Jadual Pertama melebihi kuantiti berjumlah 69 liter.
Dia didakwa melakukan perbuatan berkenaan di Pos Jabatan Imigresen, Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQs) di Padang Besar pada 26 November 26 November 2022 sekitar pukul 11.30 pagi.
Kesalahan dilakukan mengikut Subperaturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Larangan Eksport) 2011 dan boleh dihukum mengikut Perenggan 5(a) Peraturan yang sama.
Theerapong, bagaimanapun, tidak mengemukakan sebarang rayuan dan Siti Norhasliza juga tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.
Sementara di Mahkamah Majistret 2 pula, tertuduh, Anan dari Thepa, Songkhla dan Amnuaprasit dari Pasangbesa, Sadao didakwa melakukan kesalahan yang sama seperti Theerapong dengan mengisi diesel sebanyak 70 liter dan 41 liter menggunakan kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux Vigo dan Ford Ranger di lokasi yang sama seperti pertuduhan terhadap Theerapong pada 25 dan 26 November lalu sekitar pukul 12.45 petang dan 11.40 pagi.
Jika sabit kesalahan tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Mohamad Hezrin Abdul Wahab manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Anan dan Ammuaprasit, bagaimanapun, merayu kepada Majistret Ana Rozana agar mahkamah dapat mengurang nilai jaminan kepada mereka memandangkan mereka datang dari keluarga yang susah dan mempunyai tanggungan keluarga masing-masing di Thailand.
Ana Rozana kemudian menetapkan kedua-dua tertuduh diikat jamin masing-masing sebanyak RM10,000 dengan dua penjamin warga tempatan.
Mahkamah kemudian menetapkan 27 Januari hadapan untuk sebutan semula kes terhadap ketiga-tiga tertuduh bagi penentuan hukuman sementara menantikan laporan kimia dihantar.
#tiga warga Thailand #seludup diesel #diesel bersubsidi #Mahkamat Majistret Kangar