TAIPING: Tindakan seorang remaja perempuan menanggalkan gelang kuarantin berwarna merah jambu untuk keluar berjalan-jalan membawa padah apabila dia dikompaun RM5,000.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, kompaun berkenaan dikeluarkan selepas video aplikasi TikTok remaja berusia 17 tahun itu tular di media sosial pada Isnin.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati kejadian itu berlaku di Kamunting dekat sini dan polis berjaya mengesan remaja berkenaan yang didapati menanggalkan gelang merah tanpa kebenaran daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Remaja terbabit telah menjalani ujian calitan pada Sabtu lalu dan keputusannya masih belum diperolehi.

“Ketika kejadian dia dikatakan hanya singgah ke rumah rakannya di kawasan itu," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Osman berkata, kompaun dikenakan kerana remaja berkenaan melakukan kesalahan di bawah Peraturan 16 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi memerangi wabak COVID-19.

"Mana-mana individu yang didapati sengaja melanggar peraturan yang ditetapkan akan diambil tindakan sewajarnya di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988," ujarnya.