MALAYSIA

Tikam anggota polis: Suspek bertindak agresif kerana bawa dadah

Bernama 02/08/2025 | 06:50 MYT
Ayob Khan ketika menziarahi Mohd Nadzri di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia, di sini hari ini. - Gambar/ Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Suspek lelaki yang menikam anggota polis ketika menjalankan rondaan cegah jenayah di Pasar Pudu, Jalan Yew, di sini pada Khamis lepas bertindak agresif kerana membawa dadah.


Ringkasan AI
  • Suspek lelaki yang menikam anggota polis didapati membawa dadah dan mempunyai 14 rekod jenayah lampau melibatkan dadah dan kekerasan. Dia direman tujuh hari dan disiasat di bawah Seksyen 307, 186 Kanun Keseksaan serta Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
  • Anggota polis terlibat, Kpl Mohd Nadzri Sudiman, mengalami kecederaan di bahagian usus akibat tikaman sedalam tujuh sentimeter. Beliau kini dalam keadaan stabil dan dijangka pulih dalam satu hingga dua minggu.
  • PDRM sedang menilai semula SOP termasuk keperluan pemakaian kamera badan bagi anggota bertugas. Setakat ini, sebanyak 7,648 unit telah diedarkan dalam fasa pertama dan 10,000 unit lagi akan diterima dalam fasa kedua.


Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata lelaki itu juga merupakan pesalah tegar selepas pemeriksaan mendapati dia mempunyai 14 rekod jenayah lampau membabitkan dadah dan jenayah kekerasan.

Beliau berkata suspek direman selama tujuh hari hingga Khamis depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 dan 186 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh menggunakan senjata dan menghalang penjawat awam menjalankan tugas serta Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ditanya mengenai keadaan Kpl Mohd Nadzri Sudiman dari Balai Polis Pudu, Ayob Khan berkata beliau mengalami kecederaan di bahagian usus dan kini berada dalam keadaan stabil, bagaimanapun masih lemah.

"Luka tikaman itu bersaiz kira-kira tiga sentimeter lebar dan tujuh sentimeter dalam, tetapi bernasib baik kerana tidak mengenai organ penting dan hanya mengenai usus kecil.

"Beliau boleh bercakap, tetapi dari segi reaksi, beliau masih menahan sakit akibat pembedahan usus ... dan masih di bawah pengawasan doktor. Insya-Allah dalam masa seminggu atau dua minggu ini akan pulih," katanya kepada pemberita selepas melawat Mohd Nadzri di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia, di sini hari ini.

Turut hadir Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad, Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) Bukit Aman Datuk Azizee Ismail, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju ACP Mohd Lazim Ismail dan Ketua Polis Daerah Cheras ACP Aidil Bolhassan.

Dalam pada itu, Ayob Khan berkata pihaknya sentiasa melakukan penilaian semula terhadap prosedur operasi standard (SOP) termasuk keperluan pemakaian kamera badan dalam kalangan anggota yang bertugas di lapangan.

Beliau berkata ketika kejadian, anggota berkenaan tidak memakai kamera badan, tetapi keluar bertugas bersama dengan rakan setugas lain.

Polis Diraja Malaysia (PDRM), katanya sudah meminta supaya semua anggota terutama daripada Unit Rondaan Bermotosikal dan Unit Kereta Peronda dibekalkan dengan kamera badan.

"Setakat ini, keseluruhan kamera badan yang telah diedarkan kepada anggota adalah sebanyak 7,648 di seluruh negara bagi fasa satu manakala bagi fasa dua kelak, PDRM akan menerima 10,000 unit lagi," katanya.

-- BERNAMA





#tikam polis #kes dadah #Pudu #ayob khan mydin pitchay