Insiden Pelajar Perempuan Maut Ditikam di Sekolah - Ikuti info terkini di sini
MALAYSIA

Tikam pelajar: Tidak adil buat kesimpulan awal tahap kesihatan mental suspek - KP Selangor

Faida Rahim 15/10/2025 | 07:50 MYT
Datuk Shazeli Kahar berkata, adalah tidak adil untuk membuat kesimpulan bahawa suspek mengalami gangguan mental tanpa penilaian profesional daripada pakar psikiatri. - Gambar/ Shahir Omar/ Astro AWANI
SHAH ALAM: Polis belum dapat mengesahkan sama ada suspek kes bunuh seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah di Bandar Utama, Petaling Jaya, mengalami tekanan mental.


Ringkasan AI
  • Polis belum dapat mengesahkan sama ada suspek mengalami tekanan mental dan menegaskan bahawa penilaian profesional daripada pakar psikiatri diperlukan sebelum sebarang kesimpulan dibuat.
  • Siasatan mendapati suspek dan mangsa tidak mempunyai sebarang hubungan atau interaksi sebelum kejadian, dan suspek dipercayai berada dalam keadaan emosi tidak stabil semasa insiden berlaku.
  • Polis menyeru orang awam agar tidak membuat andaian yang boleh mengganggu siasatan, dan akan mendapatkan laporan perubatan serta penilaian psikiatri bagi membantu proses pendakwaan.


Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata, adalah tidak adil untuk membuat kesimpulan bahawa suspek mengalami gangguan mental tanpa penilaian profesional daripada pakar psikiatri.

“Kami perlu merujuk kepada pakar-pakar psikiatri untuk mendapatkan gambaran sebenar mengenai keadaan mental suspek. Buat masa ini, apa yang boleh kami nyatakan ialah kemungkinan suspek berada dalam keadaan emosi yang tidak stabil ketika kejadian berlaku,” katanya kepada pemberita hari ini.

Tambah beliau, siasatan lanjut masih dijalankan dan polis akan mendapatkan laporan perubatan serta penilaian psikiatri bagi membantu proses pendakwaan.

Katanya, siasatan mendapati tiada sebarang hubungan atau interaksi antara kedua-dua pelajar berkenaan sebelum kejadian berlaku.

Polis menyeru orang awam agar tidak membuat sebarang andaian yang boleh mengganggu siasatan dan memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan tugas secara profesional.

Sementara itu, Shazeli berkata, polis akan berbincang dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk mencari kaedah lebih baik bagi menangani insiden sedemikian daripada berulang di sekolah.

"Pihak PDRM Selangor akan duduk dengan Jabatan Pendidikan Negeri untuk berbincang kaedah yang lebih efisyen untuk memastikan perkara sedemikian tidak kembali berulang," katanya yang mengakui tiada pemeriksaan bahan berbahaya dilakukan kepada pelajar sekolah itu.

Mengenai keadaan keluarga mangsa, Shazeli berkata mereka masih bersedih dan perlu diberi ruang secukupnya.

"Keluarga mangsa masih dalam keadaan bersedih, saya menyeru beri ruang secukupnya kepada keluarga mangsa dan jangan diajukan soalan-soalan yang sensitif... kita hormati perasaan keluarga mangsa.

"Keluarga suspek pula setakat ini memberi kerjasama yang baik kepada pihak polis untuk membantu siasatan," katanya.



#pelajar ditikam #Fadhlina Sidek #kesihatan mental #Shazeli Kahar