Skip to main content

Malaysia

TikTok perkasa literasi digital menerusi pelancaran #ThinkTwice Training

Tik Tok Content
TikTok bekerjasama dengan Communications and Multimedia Content Forum of Malaysia (Content Forum) serta Parent Action Group for Education Malaysia (PAGE) yang berkongsi pandangan pakar mengenai pembentukan generasi digital yang bertanggungjawab.

KUALA LUMPUR: TikTok memperluaskan inisiatif literasi digitalnya daripada sekadar meningkatkan kesedaran kepada tindakan konkrit menerusi pelancaran #ThinkTwice Training, satu siri bengkel latihan berkonsepkan “train-the-trainer”.

Inisiatif itu dibangunkan susulan kejayaan kempen #ThinkTwice di Malaysia yang telah mencatat hampir 400 juta tontonan kandungan pendidikan serta lebih 1.4 juta lawatan ke hab pengetahuan pelbagai bahasa setakat ini.

Advertisement

#ThinkTwice Training bertujuan melengkapkan juara komuniti termasuk ibu bapa, pencipta kandungan, ahli akademik dan organisasi masyarakat sivil dengan pengalaman praktikal berkaitan keselamatan dalam talian, sekali gus menyokong usaha berterusan TikTok dalam membina komuniti digital yang lebih berinformasi.

Bagi pelancaran sulungnya, TikTok bekerjasama dengan Communications and Multimedia Content Forum of Malaysia (Content Forum) serta Parent Action Group for Education Malaysia (PAGE) yang berkongsi pandangan pakar mengenai pembentukan generasi digital yang bertanggungjawab. TikTok turut merancang untuk menganjurkan bengkel ini secara berterusan bersama pelbagai komuniti tempatan sepanjang tahun.

Ketua Dasar Awam TikTok Malaysia, Firdaus Fadzil berkata, pendekatan “Safety by Design” membantu memudahkan ibu bapa menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi yang pesat.

“Kami memahami cabaran ibu bapa untuk mengikuti perubahan teknologi. Dengan lebih 50 tetapan privasi dan keselamatan yang diaktifkan secara automatik bagi akaun remaja di TikTok, ibu bapa tidak perlu bermula dari awal.

“Melalui #ThinkTwice Training, ibu bapa dapat mempelajari cara menyesuaikan akaun remaja menggunakan fungsi Family Pairing dengan mudah, sekali gus memberi ketenangan fikiran,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Content Forum, Mediha Mahmood menegaskan bahawa kemahiran digital merupakan kemahiran hidup yang penting.

“Apabila ibu bapa dilengkapi dengan pengetahuan, alat dan pengalaman digital, kita dapat bersama-sama membentuk remaja yang berdaya tahan dan bertanggungjawab. Pendekatan terbaik bukanlah menyekat, tetapi membimbing mereka dengan sokongan dan perlindungan yang sesuai,” ujarnya.

Pandangan tersebut turut disokong oleh Setiausaha Kehormat PAGE, Tunku Munawirah Putra yang menekankan kepentingan ekspresi kreatif dalam pembangunan remaja.

“Penyertaan digital bukan sahaja menyumbang kepada pembangunan diri, malah mempunyai nilai ekonomi. Oleh itu, ibu bapa perlu diperkasa dengan kemahiran praktikal bagi melindungi pengalaman digital anak-anak,” jelasnya.

Antara tarikan utama bengkel tersebut ialah simulasi keselamatan interaktif yang mempamerkan bagaimana ciri-ciri keselamatan TikTok dapat digunakan dalam situasi sebenar. Ini termasuk fungsi had masa skrin di bawah Family Pairing, tetapan akaun peribadi, Restricted Mode serta Creator Care Mode.

Seorang ibu dan pencipta kandungan, Audrey berkata latihan tersebut membantunya memahami dengan lebih mendalam alat keselamatan yang tersedia.

“Keibubapaan dalam era digital bukan tentang melarang, tetapi membimbing dan berbincang secara terbuka dengan anak-anak,” katanya.

Seorang lagi peserta, Sufina yang juga jurulatih digital, menambah bahawa pendidikan dan bimbingan adalah pendekatan yang lebih mampan berbanding sekatan semata-mata.

“Kanak-kanak hari ini sangat bijak. Jika disekat, mereka mungkin beralih ke platform yang kurang selamat. Justeru, ibu bapa perlu memainkan peranan aktif dalam membentuk tabiat digital yang sihat,” katanya.

Bengkel #ThinkTwice Training turut membimbing ibu bapa secara langkah demi langkah untuk menghubungkan akaun mereka dengan akaun remaja, sekali gus memastikan pengetahuan yang diperoleh dapat diaplikasikan dalam kehidupan seharian.
 

Must Watch Video