NATIONAL
TikTok Shop dan KPDN perkenal tip #ShopSafe, cegah penipuan dalam talian
#ShopSafe yang dijalankan bersempena sambutan Hari Hak Pengguna Sedunia adalah sebahagian daripada usaha mencegah penipuan dalam talian.
KUALA LUMPUR: TikTok Shop, platform e-dagang yang dipercayai di Malaysia, menjalin kerjasama strategik dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam usaha memperkasakan rakyat Malaysia membeli-belah secara selamat melalui inisiatif kesedaran #ShopSafe.
#ShopSafe yang dijalankan bersempena sambutan Hari Hak Pengguna Sedunia itu juga adalah sebahagian daripada usaha mencegah penipuan dalam talian.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pihaknya berbesar hati untuk bekerjasama dengan TikTok Shop dalam mendidik rakyat Malaysia tentang amalan terbaik ketika membeli-belah secara dalam talian, selain memperkasakan mereka dengan pengetahuan dan penggunaan alatan yang tepat untuk #ShopSafe secara digital.
“Kami mendapati, kebanyakan kes penipuan e-dagang yang dilaporkan berlaku di luar platform e-dagang rasmi, dengan penjenayah siber mengarahkan pengguna untuk menyelesaikan transaksi di luar platform sama ada melalui nombor telefon, pautan mencurigakan atau debit langsung.
“Dedikasi TikTok Shop dalam memperjuangkan hak dan keselamatan pengguna harus dipuji dan kami berharap untuk terus bekerjasama bagi membanteras penipuan dalam talian secara tuntas,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Pengarah Kerjasama Strategik TikTok Shop Malaysia, Nur Azre Abdul Aziz dalam kenyataan sama berkata, keselamatan adalah keutamaan pertama pihaknya di TikTok Shop.
“Kami sentiasa melabur dalam tenaga kerja dan teknologi bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menikmati pengalaman membeli-belah dalam talian yang selamat dan bebas kebimbangan termasuk melalui Polisi Pemulangan dan Bayaran Balik kami yang kukuh.
“Dalam separuh pertama 2024, kami secara proaktif telah menolak 20.4 juta percubaan penyenaraian produk dan dua juta pendaftaran akaun penjual di peringkat global yang tidak memenuhi piawaian kami,” katanya.
Beliau berkata, membanteras penipuan dalam talian memerlukan usaha bersama dan pihaknya amat menghargai sokongan KPDN dalam mendidik rakyat Malaysia tentang tip #ShopSafe.
“Bersama-sama, kita boleh memastikan komuniti kita sentiasa cakna tentang trend penipuan baharu serta langkah-langkah perlindungan terhadapnya,” katanya.
Tip #ShopSafe yang diperkenalkan oleh TikTok Shop dan KPDN termasuk Mengelakkan Pembelian di Luar Platform, Jangan Kongsi Maklumat Peribadi Sensitif dengan Orang Lain dan Laporkan Tingkah Laku yang Melanggar Peraturan Melalui Aplikasi.
Untuk maklumat lanjut tentang TikTok Shop Malaysia layari https://www.tiktok.com/@tiktokshop_my.
-- BERNAMA