KUALA LUMPUR:Transparency International Malaysia (TI-M) mempersoalkan keperluan kerajaan memasukkan klausa kerahsiaan dalam perjanjian penyelesaian dengan Goldman Sachs Group Inc (Goldman) berhubung skandal 1MDB sebanyak AS$3.9 bilion (RM16 bilion).

Memetik laporan Free Malaysia Today, Presidennya, Muhammad Mohan berkata, ia adalah isu kepentingan awam dan harus diperiksa oleh jawatankuasa Parlimen.

Unit Goldman Sachs Malaysia sebelum ini mengaku bersalah terhadap konspirasi untuk melanggar undang-undang Akta Pencegahan Rasuah Pegawai Asing (Foreign Corrupt Practices Act) di Amerika Syarikat (AS) dalam skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Reuters melaporkan, wakil Goldman Sachs muncul di Mahkamah Persekutuan pagi Khamis (waktu tempatan).

Goldman Sachs juga bersetuju untuk melunaskan bayaran US$2 bilion untuk (RM11 bilion) kepada kerajaan AS atas kesalahan berkaitan 1MDB.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Takiyuddin Hassan sebelum ini berkata, perincian dalam perjanjian dengan Goldman tidak boleh didedahkan bagi mengelakkan tindakan undang-undang terhadap kerajaan kerana terikat dengan klausa kerahsiaan.

Jelasnya, bahagian perundangan di kedua-dua belah pihak harus diberi akses kepada maklumat atas nama ketelusan. Ia tidak boleh secara mudah diistilahkan sebagai rahsia negara.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pemeriksa Fraud Bertauliah Malaysia, Datuk Seri Akhbar Satar menegaskan, pengakuan bersalah Goldman Sachs Malaysia mampu memberi kesan positif terhadap proses mahkamah membabitkan kes skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurutnya, keputusan tersebut boleh memberi ruang kepada pihak pendakwaan untuk mengemukakan tuntutan pampasan yang lebih tinggi.

Mengulas isu sama, Wathshlah Naidu dari Center for Independent Journalism (CIJ) berkata, klausa kerahsiaan penting untuk keselamatan negara, pertahanan dan ketenteraman awam, tetapi tidak boleh digunakan sebagai cara mudah untuk menghalang masyarakat mengakses perkara-perkara kepentingan awam.

Beliau berkata, kerajaan mesti menjelaskan kenapa pendedahan perincian perjanjian itu memudaratkan dan kesan undang-undang khusus jika ia berbuat demikian.

Baru-baru ini, ahli Parlimen Subang Wong Chen berkata, rakyat Malaysia menuntut keadilan dan pengembalian sepenuhnya wang yang dicuri itu.

Beliau berkata, jika kerajaan masih beranggapan bahawa 10 ahli Parlimen tidak boleh melihat perjanjian tersebut secara menyeluruh, maka ketua audit perlu memberikan pendapatnya mengenai perkara itu.

Katanya, menyembunyikan fakta mengenai penyelesaian itu akan menyebabkan luka kedua bagi rakyat Malaysia.