MALAYSIA
Timbalan KP JPK KESUMA dinobatkan Tokoh TVET Berwawasan pada META 2025

Kamaruzaman (dua, kanan) menerima anugerah yang disampaikan Mustapha pada majlis Malaysia Education and TVET Awards 2025, baru-baru ini. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Pengarah (Operasi dan Pengurusan) Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) Kamaruzaman Md Ali dinobatkan sebagai penerima Anugerah Personaliti Cemerlang - Kepimpinan TVET Berwawasan pada Malaysia Education and TVET Awards (META) 2025, baru-baru ini.
Anugerah tersebut sebagai pengiktirafan terhadap kepimpinan strategik beliau dalam memperkasa agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di peringkat nasional serta memperluas pengiktirafan antarabangsa terhadap sistem kemahiran negara.
Anugerah yang disampaikan Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Mustapha Sakmud itu juga sebagai penghargaan atas sumbangan besar beliau dalam membentuk ekosistem TVET yang progresif dan mampan.
“TVET bukan lagi laluan alternatif, sebaliknya arus perdana masa depan Malaysia. Peranan tenaga kerja mahir amat kritikal bagi mendepani cabaran Revolusi Industri 4.0, ekonomi digital serta tuntutan kelestarian global,” kata Kamaruzaman ketika ditemui selepas menerima anugerah berprestij itu.Beliau berkata pengiktirafan tersebut menjadi dorongan untuk terus memperkukuh agenda pembangunan modal insan negara berasaskan kemahiran serta memastikan TVET terus relevan dalam ekosistem pembangunan negara.
Beliau turut menyeru lebih ramai belia merebut peluang dalam bidang TVET yang menawarkan laluan kerjaya lebih luas serta potensi untuk menjadi usahawan teknologi dan inovasi masa depan.
META merupakan majlis anugerah tahunan yang mengiktiraf personaliti dan organisasi pendidikan serta penyedia latihan yang cemerlang dalam sektor pendidikan formal dan TVET di Malaysia.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami