KUALA LUMPUR:Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan penggantungan sidang Parlimen susulan pengisytiharan darurat adalah cubaan menghalang suara rakyat dibahaskan.

Menurut Anwar, meskipun darurat dilaksanakan, Parlimen seharusnya berjalan seiring dengan peruntukan di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

"Kalau pun Darurat itu ditetapkan, masih mampu Parlimen itu berjalan seiring dan ada peruntukan dalam Perlembagaan, ini urusan Perlembagaan.

"Perlembagaan menetapkan Perkara 150 itu, Pengisytiharan Darurat 150 (3) membolehkan Parlimen berjalan seiring... menyegerakan beberapa langkah dikira perlu untuk keselamatan negara," katanya.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata demikian dalam sidang media secara dalam talian menerusi Facebook rasminya pada Rabu.

Malah Anwar turut menyifatkan tindakan kerajaan menggantung sidang Dewan Rakyat kerana tidak berupaya mendengar hujah daripada setiap Ahli Parlimen.

"Ini kita usulkan mengapa dilarang sesi Parlimen? Ada mengatakan urusan lain boleh, kerana tidak ada keupayaan, kewibawaan pimpinan untuk mendengar, berhujah dan menjawab serta mengulas.

"Supaya mereka (kerajaan) mampu melakukan apa sahaja tanpa dipersoal, kerana kuasa darurat itu kuasa besar dan kuasa mutlak. Apa salahnya kuasa itu ada, tetapi diimbangi Parlimen supaya dapat dibahaskan.

Tambah Anwar lagi, jika Parlimen dapat bersidang ketika darurat, beliau menjangkakan apa sahaja proses dapat dipercepatkan terutama melibatkan kepentingan dan keselamatan rakyat.