Insiden Pelajar Perempuan Maut Ditikam di Sekolah - Ikuti info terkini di sini
MALAYSIA

Tindakan menyeluruh diperlukan tangani krisis sosial, buli, kemurungan dan jenayah di kalangan pelajar - PSIMA

Kenyataan Media 15/10/2025 | 05:50 MYT
PSIMA menggesa pelaksanaan intervensi berasaskan bukti seperti program literasi emosi, intervensi awal oleh pakar psikologi, sistem rujukan psikososial dan dasar sekolah selamat. - Gambar hiasan
PERSATUAN Psikologi Malaysia (PSIMA) memandang serius peningkatan masalah sosial yang semakin meruncing dalam kalangan pelajar sekolah di Malaysia, termasuk kejadian buli fizikal dan siber, tekanan emosi yang membawa kepada kemurungan dan bunuh diri, serta kes jenayah berat seperti kejadian rogol berkumpulan yang mengejutkan masyarakat baru-baru ini. Fenomena ini bukan sekadar insiden terpencil, tetapi mencerminkan krisis kesejahteraan psikososial yang perlu ditangani secara menyeluruh oleh semua pihak, bukan hanya sekolah dan keluarga, tetapi juga komuniti, agensi penguatkuasaan, pakar psikologi dan pembuat dasar.


Ringkasan AI
  • PSIMA menyifatkan peningkatan kes buli, kemurungan dan jenayah berat dalam kalangan pelajar sebagai krisis kesejahteraan psikososial yang memerlukan pendekatan menyeluruh melibatkan sekolah, keluarga, komuniti, pakar dan pembuat dasar.
  • PSIMA menggesa pelaksanaan intervensi berasaskan bukti seperti program literasi emosi, intervensi awal oleh pakar psikologi, sistem rujukan psikososial, dasar sekolah selamat, kempen kesedaran awam dan penggubalan Akta Psikologi Malaysia.
  • PSIMA menekankan bahawa kejadian rogol berkumpulan mencerminkan kegagalan sistem nilai masyarakat dan menyeru perubahan budaya serta struktur melalui kerjasama semua pihak untuk membina generasi remaja yang empatik dan sejahtera.


PSIMA menegaskan bahawa masalah ini tidak boleh dilihat semata-mata sebagai isu disiplin atau moral, tetapi sebagai manifestasi pelbagai faktor psikologi, sosial dan persekitaran yang saling berkait. Terdapat keperluan mendesak untuk memahami akar punca — termasuk faktor tekanan keluarga, pengaruh rakan sebaya, persekitaran sekolah yang tidak selamat, serta pendedahan awal kepada kandungan ganas atau lucah dalam talian — yang boleh membentuk corak tingkah laku agresif, simptom kemurungan, atau tindakan jenayah dalam kalangan remaja.

PSIMA menyeru agar pendekatan intervensi yang holistik dan berasaskan bukti dilaksanakan segera, termasuk:
Sebagai badan profesional yang mewakili ahli psikologi di seluruh negara, PSIMA bersedia bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Kesihatan, agensi penguatkuasaan, NGO serta komuniti untuk membangunkan pelan tindakan jangka pendek dan jangka panjang yang sistematik. Ini termasuk penyediaan modul intervensi psikologi, latihan berasaskan sains tingkah laku, serta rangka kerja pemantauan berterusan di sekolah.

PSIMA juga ingin menegaskan bahawa kejadian-kejadian seperti rogol berkumpulan bukan sahaja satu jenayah yang kejam, tetapi juga menunjukkan kegagalan kita sebagai masyarakat dalam membina sistem nilai, empati dan kawalan tingkah laku yang kukuh di kalangan remaja. Justeru, sebarang intervensi mesti melibatkan perubahan budaya dan struktur — bukan sekadar tindakan selepas kejadian berlaku.

Kami menggesa semua pihak — kerajaan, masyarakat sivil, ibu bapa dan media — untuk memainkan peranan secara kolektif dan berterusan. Ini bukan sekadar soal mendisiplinkan pelajar, tetapi soal membina generasi yang berakhlak, empatik dan sejahtera dari segi mental dan sosial. PSIMA komited untuk menjadi rakan strategik dalam usaha nasional ini.




Prof Madya Dr Shazli Ezzat Ghazali
Presiden, Persatuan Psikologi Malaysia (PSIMA)
Pensyarah Kanan, Program Psikologi Klinikal dan Kesihatan Tingkah Laku
Fakulti Sains Kesihatan, UKM




#kes tikam pelajar #pelajar maut ditikam #PSIMA #kesihatan mental