Tindakan pantas kedutaan selamatkan rakyat Malaysia jadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan

Bernama
Mac 29, 2024 14:15 MYT
Menurut kenyataan Kementerian Luar (Wisma Putra) pada Jumaat, warga Malaysia berkenaan diselamatkan selepas kementerian itu menerima laporan daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan keluarga mangsa. - Gambar hiasan/BERNAMA
PUTRAJAYA: Pihak Kedutaan Besar Malaysia di Vientiane, Laos berjaya menyelamatkan seorang warganegara Malaysia berumur 19 tahun di sebuah hotel di Vientiane semalam daripada diperdaya sindiket penipuan tawaran pekerjaan.
Menurut kenyataan Kementerian Luar (Wisma Putra) pada Jumaat, warga Malaysia berkenaan diselamatkan selepas kementerian itu menerima laporan daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan keluarga mangsa.
"Mangsa tersebut telah diperdaya oleh seorang warga asing melalui media sosial dan dibawa keluar dari Malaysia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA 2) pada 25 Mac, 2024.
Walau bagaimanapun, tindakan pantas Kedutaan Besar Malaysia di Vientiane telah berjaya menggagalkan cubaan pihak sindiket untuk merekrut mangsa tersebut," katanya.
Wisma Putra turut memaklumkan Kedutaan Besar Malaysia di Vientiane juga telah menghulurkan bantuan konsular dan mangsa telah dihantar pulang ke tanah air hari ini.
Kementerian itu merakamkan penghargaan kepada pihak PDRM di atas tindakan pantas dan proaktif dalam mengesan serta menyelamatkan mangsa dengan kerjasama erat bersama Kementerian Luar serta Kedutaan Besar Malaysia di Vientiane.
Wisma Putra juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak berkuasa Laos yang sentiasa memberikan kerjasama dan keutamaan dalam membantu Kerajaan Malaysia menyelamatkan mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan, termasuk kes yang terbaharu ini.
Kementerian turut menyarankan semua rakyat Malaysia supaya sentiasa berwaspada dalam isu sindiket penipuan tawaran pekerjaan di luar negara.
"Mangsa atau ahli keluarga yang disyaki terjebak dalam sindiket kegiatan jenayah ini adalah diminta untuk melaporkan kepada pihak PDRM dan Kementerian Luar dengan kadar segera," tambahnya.
-- BERNAMA
#Kedutaan Besar Malaysia di Vientiane #laos #rakyat Malaysia #sindiket penipuan tawaran pekerjaan