MALAYSIA
Tindakan penguatkuasaan bukan pendekatan utama isu ketidakhadiran peserta PLKN 3.0 - Adly

Adly berkata keutamaan PLKN 3.0 adalah untuk memberi ruang dan peluang kepada generasi muda menyertai program latihan mengikut kesediaan dan keupayaan masing-masing selaras dengan pendekatan lebih fleksibel dan berfasa. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Tindakan penguatkuasaan bukanlah pendekatan utama yang digunakan Kementerian Pertahanan dalam isu ketidakhadiran peserta Program Latihan Khidmat Negara 3.0 (PLKN 3.0), sebaliknya menggunakan kaedah berkesan yang memberi kesedaran dan pemupukan minat.
Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata antara justifikasi ketidakhadiran peserta, termasuk isu kesihatan, komitmen pendidikan serta pekerjaan peserta, dan kementerian terus berkomunikasi dengan mereka untuk mencapai penyelesaian terbaik.
Beliau berkata keutamaan PLKN 3.0 adalah untuk memberi ruang dan peluang kepada generasi muda menyertai program latihan mengikut kesediaan dan keupayaan masing-masing selaras dengan pendekatan lebih fleksibel dan berfasa.
"Misalnya, dalam siri kedua PLKN 3.0 ini sebahagian yang tidak hadir bersedia untuk menyertai siri ketiga nanti. Kita cuba guna pendekatan kesedaran dan menyelesaikan masalah yang terkait."Pendekatan penggunakan akta (Akta Latihan Khidmat Negara) itu adalah sebagai pilihan terakhir, selagi kaedah perbincangan dan kesedaran itu boleh kita lakukan, saya fikir itulah keutaman kita," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) berhubung isu ketidakhadiran peserta PLKN 3.0.
Adly berkata setakat Julai, dua siri latihan telah dilaksanakan melibatkan 560 pelatih daripada keseluruhan sasaran 1,200 peserta bagi 2025 dengan siri pertama sebanyak 116 peserta dan 444 (siri kedua), manakala siri ketiga yang dijadual pada September ini akan melibatkan 640 peserta.
Dalam isu berasingan berhubung penglibatan atau tawaran berkerja bagi veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyertai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Malaysia, Adly berkata kerajaan sedang mempertimbangkan perkara ini.
Beliau berkata sebelum ini kementerian menyasarkan sekurang-kurangnya 30 peratus penglibatan veteran ATM dalam sektor industri pertahanan sebagai satu usaha memperkasakan kebajikan serta peranan mereka selepas tamat perkhidmatan.
"Memang ada perbincangan dengan Kementerian Dalam Negeri, buat masa ini belum ada pelaksanaan ke arah itu, (namun) kita cuba pertimbangkan supaya veteran ATM dapat dilibatkan dalam proses itu.
"Walaupun sasaran itu belum dicapai sepenuhnya, tetapi kita mahu industri pertahanan memberi keutamaan kepada veteran ATM memandangkan mereka memiliki kesinambungan dari segi pengetahuan, keupayaan dan pengalaman," katanya.
Beliau menjawab soalan Nordin Ahmad Ismail (PN-Lumut) yang ingin tahu sama ada golongan veteran ATM diberikan tawaran bekerja dengan AKPS.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami