Tindakan sita terhadap 11 rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Alam, Pasir Gudang yang viral di media sosial telah dibuat mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Malah, menurut Exco Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Sr Dzulkefly Ahmad, SOP tersebut juga telah dinyatakan di bawah perjanjian antara penyewa dan kerajaan sekiranya gagal membayar sewa di bawah klausa tindakan penguatkuasaan.

Kata beliau dalam satu kenyataan pada Selasa, jumlah tunggakan 11 PPR itu berjumlah antara RM1,100 hingga RM9,300 dan bayaran sewa bulanan yang dikenakan hanya RM124.

"Ini bermakna penghuni berkenaan tinggal dalam tempoh satu hingga enam tahun secara percuma. Malah, jumlah keseluruhan tunggakan sewa di PPR Seri Alam melebihi RM300,000," kata Dzulkefly.

Manakala, katanya jumlah tunggakan bagi lapan PPR di Johor berjumlah kira-kira RM1.5 juta.

Kata Dzulkefly lagi, mengikut statistik rumah sewa PPR dan rumah sewa kerajaan (RSK), hanya 40 hingga 45 peratus sahaja penyewa yang membayar sewa bulanan.

Disebabkan itu, jelas beliau, kerajaan terpaksa menanggung jumlah kos penyelenggaraan yang tinggi termasuk lif.

Katanya 11 PPR yang disita mempunyai tunggakan yang besar.

Kenyataan media oleh Pengerusi Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar, Sr Dzulkefly Ahmad.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan setakat ini enam penyewa telah membuat pembayaran manakala lima lagi telah membuat aku janji menyelesaikan tunggakan mereka.

Kesemua rumah PPR terbabit telah dibuka semula oleh Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Bahagian Perumahan negeri Johor kepada penyewa.

Katanya, kerajaan berharap operasi penguatkuasaan PPR dan RSK akan memberi kesedaran kepada penyewa untuk membuat bayaran tertunggak.

Terdahulu, tular di media sosial beberapa gambar serta video yang menunjukkan penghuni PPR berkenaan didakwa diusir dan diminta mengosongkan kediaman mereka oleh penguatkuasa.