MALAYSIA

Tindakan tegas jika program ‘Glamping With Pride’ diteruskan - Polis

Umavathi Ramayah 10/01/2026 | 09:50 MYT
Polis sudah membuka kertas siasatan berhubung penganjuran program berkenaan. - Gambar tular
KAJANG: Tindakan tegas akan diambil terhadap penganjur sekiranya program Glamping With Pride yang dirancang diadakan di Hulu Langat, di sini pada hujung minggu depan diteruskan.


Ringkasan AI
  • Polis Kajang membuka kertas siasatan dan mengambil tindakan tegas terhadap program Glamping With Pride di Hulu Langat minggu depan.
  • Tindakan undang-undang akan diambil berdasarkan Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 terhadap penganjur.
  • Program tersebut oleh kumpulan pro LGBTQ - Jejaka dipercayai boleh mendatangkan masalah sosial dan melanggar tatasusila masyarakat, namun penganjur tetap akan meneruskan program tersebut.


Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, berkata polis sudah membuka kertas siasatan berhubung penganjuran program berkenaan.

Menurut beliau, setakat ini polis menerima lima laporan, dengan laporan pertama diterima pada Khamis lalu kira-kira pukul 6.10 petang.

"Tindakan tegas berlandaskan undang-undang akan diambil jika aktiviti sebegini diteruskan.

"Justeru, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali," katanya dalam kenyataan di sini, pada Sabtu.

Kes itu menurut Naazron turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya sekali.

Beliau berkata, program berkenaan dipercayai boleh mendatangkan masalah sosial serta melanggar tatasusila masyarakat.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa menjaga tatasusila dan tidak melakukan sebarang perbuatan yang dengan sengaja boleh mengaibkan serta membangkitkan ketenteraman awam.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan penganjuran program itu diminta menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superitendan Nur Ayuni Abd Aziz di talian 016-2080717 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Laporan sebelum ini mendedahkan, program itu dianjurkan oleh kumpulan pro lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBTQ) yang dikenali sebagai Jejaka, dan digambarkan sebagai satu pemukiman berasaskan komuniti yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan, sokongan rakan sebaya serta kesedaran kesihatan.

Menurut penganjur, aktiviti selama dua hari itu hanya melibatkan perkhemahan di lokasi berdaftar dan didakwa tidak melanggar mana-mana undang-undang negara.

Justeru penganjur menegaskan akan meneruskan program tersebut walaupun menerima kritikan.



#Glamping With Pride #Polis Diraja Malaysia #IPD Kajang #LGBT