Tindakan tegas ke atas pihak main isu 3R - KKMM

Bernama
Ogos 24, 2019 09:20 MYT
Menjaga isu 3R amat penting untuk mengekalkan kestabilan dan mengekang pihak tidak bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman. - Gambar hiasan
Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang memainkan isu kandungan 3R iaitu Race (Kaum), Religion (Agama) dan Royalty (Institusi Diraja) dalam media sosial, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith.
Beliau menegaskan kementeriannya tidak akan bertolak ansur kerana perbuatan itu boleh mencetuskan sentimen ketegangan kaum di negara ini.
Kerajaan Pakatan Harapan mengamalkan sifat keterbukaan tetapi tidak mahu sesetengah pihak mengambil kesempatan atas keterbukaan ini dengan menjadikan isu sentimen perkauman untuk mencetus api perkauman antara kaum.
"3R ini saya percaya amat penting untuk mengekalkan kestabilan dan mengekang pihak tidak bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman.
"Perkara ini (tindakan tegas) bukanlah untuk menakutkan mana-mana pihak kecuali mereka yang sengaja mencabar pihak berkuasa. Jadi, tindakan undang-undang akan dikenakan ke atas mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Amal Merdeka Za'ba Parlimen Kuala Pilah 2019 di sini, pada Sabtu.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan daripada orang awam berhubung insiden atau kandungan berunsur 3R yang dilaksanakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) baru-baru ini.
Pelaksanaan 3R itu adalah hasil kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia yang lebih mudah dan mempercepatkan proses tindakan penguatkuasaan diambil berhubung perkara itu.
Bagaimanapun, ketika diminta perincian mengenai jumlah laporan terkini diterima pihaknya melalui aplikasi WhatsApp dan e-mel, Eddin Syazlee berkata masih belum dimaklumkan mengenainya.
Terdahulu, SKMM dalam kenyataannya sebelum ini menggesa orang ramai supaya tampil melaporkan insiden atau kandungan berunsur 3R dalam media sosial terus kepada suruhanjaya berkenaan.
Eddin Syazlee, yang juga Anggota Parlimen Kuala Pilah, berkata karnival yang diadakan pada hari ini satu contoh baik yang dilaksanakan kepimpinan sekolah dan ibu bapa bagi menjalankan aktiviti berbentuk pengisian kemerdekaan.
"Saya kagum dengan penyertaan peserta dari seluruh negara dan sambutan cukup menggalakkan ini seharusnya menjadi contoh kepada sekolah dan organisasi lain untuk menjadikan ia sebagai satu pengisian kemerdekaan yang diterjemahkan melalui tindakan menunjukkan tanda sayang kepada negara ini dan mengukuhkan perpaduan kaum.
Karnival anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Sukan Negeri, Sekolah Menengah Kebangsaan Za'ba Kuala Pilah dengan kerjasama Parlimen Kuala Pilah itu melibatkan 1,500 peserta dari seluruh negara dan telah bermula sejak semalam hingga esok dengan pelbagai aktiviti menarik diadakan seperti Larian Merdeka Za'ba, persembahan teater, bicara ilmu dan pentarama.
-- BERNAMA
#3R #agama #institusi diraja #kaum #Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia #KKMM #race #religion #royalty #sensitiviti