BUKIT MERTAJAM: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang memberi amaran kepada semua pengusaha bas ekspres di Penang Sentral, Butterworth di sini agar menurunkan dan mengambil penumpang di dalam terminal itu seperti yang ditetapkan.

Pengarah JPJ Pulau Pinang Adenan Md Isa berkata ini kerana terdapat bas ekspres didapati tidak menurunkan dan mengambil penumpang di Penang Sentral sebaliknya di kawasan luar terminal tersebut kononnya memudahkan pemandu bas.

"Pihak JPJ menerima aduan daripada pengurusan Penang Sentral bahawa terdapat bas ekspres tidak masuk ke dalam terminal untuk mengambil dan menghantar penumpang sebaliknya pemandu bas ekspres berhenti di kawasan luar sahaja, tidak jauh dari Penang Sentral iaitu tempat lama bas ekspres beroperasi.

"Ekoran aduan itu, kami menjalankan pemantauan dan pemeriksaan sejak seminggu lepas sebelum mendapati memang terdapat beberapa bas ekspres berhenti di luar malah di kawasan tersebut juga terdapat pondok menjual tiket bas ekspres," katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2023 di JPJ Pulau Pinang di Seberang Jaya di sini.

Beliau berkata bas ekspres berkenaan kebanyakannya dari selatan dan tindakan pemandu bas yang tidak memasuki terminal bukan sahaja membahayakan penumpang malah menyebabkan kesesakan di luar kawasan terminal.

Adenan berkata setakat ini, tiga saman telah dikeluarkan kepada pengusaha bas yang masih berdegil menurunkan dan mengambil penumpang di luar Penang Sentral.

Katanya pengusaha bas juga diberi amaran agar tidak menjual tiket bas di luar terminal kerana berdasarkan siasatan awal pihaknya mendapati mereka mempunyai kaunter di dalam terminal namun dalam masa sama menjual di luar kerana mendapat permintaan yang tinggi.

"Ramai yang beli tiket di luar terminal dan setakat ini, terdapat empat syarikat bas telah dikenal pasti menjual tiket bas di luar terminal. Alasan yang diberikan pengusaha bas ialah memudahkan pembeli tiket, sedangkan itu satu kesalahan," katanya.

Beliau berkata pihaknya telah mengadakan perjumpaan dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), pihak berkuasa tempatan (PBT), wakil pengendali Penang Sentral dan wakil kerajaan negeri semalam bagi membincangkan masalah tersebut kerana ia memerlukan kerjasama semua pihak bagi menyelesaikannya segera.

-- BERNAMA