Tindakan tegas terhadap majikan gagal carum Perkeso

Bernama
Jun 29, 2016 00:08 MYT
Pindaan kepada akta itu merangkumi dua perkara utama iaitu meningkatkan amaun gaji bulanan seorang pekerja yang diinsuranskan daripada RM3,000 sebulan kepada RM4,000 sebulan. - Gambar fail
Majikan yang didapati gagal mendaftar atau mencarum pekerja mereka dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bakal berdepan tindakan tegas termasuk dikenakan kompaun sehingga RM4,000, berkuat kuasa 15 Julai ini.
Ketua Eksekutif Perkeso Datuk Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata tindakan itu berikutan kelulusan pindaan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 di Parlimen pada Mei, dan skim berkenaan diwartakan mulai 1 Jun lepas.
"Operasi penguatkuasaan akan dilaksanakan secara berperingkat dan mereka (majikan) yang dikenal pasti ingkar akan didenda.
"Sekiranya tidak membayar denda, perintah mahkamah akan dikeluarkan, dan mereka boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969," katanya kepada pemberita pada majlis berbuka puasa anjuran Perkeso, di sini semalam.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia Datuk Seri Adenan Ab Rahman.
Mohammed Azman turut berkata pindaan kepada akta itu merangkumi dua perkara utama iaitu meningkatkan amaun gaji bulanan seorang pekerja yang diinsuranskan daripada RM3,000 sebulan kepada RM4,000 sebulan.
Selain itu, memperluaskan perlindungan skim keselamatan sosial kepada semua pekerja yang berkhidmat di bawah satu kontrak perkhidmatan tertakluk kepada siling gaji bulanan maksimum RM4,000 sebulan, katanya.
"Seramai 500,000 pekerja yang sebelum ini tidak layak dilindungi akan layak menikmati faedah perlindungan Perkeso," katanya.
Pengurus Bahagian Penguatkuasaan Unit Operasi Perkeso, Hairiri Harun pula berkata Perkeso turut bekerjasama dengan agensi berkaitan seperti Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dalam mengenal pasti majikan yang gagal mendaftarkan pekerja mereka.
"Setakat ini, peratusan tidak mendaftar sebanyak 10 hingga 15 peratus manakala majikan daripada industri makanan menunjukkan angka yang tinggi dalam senarai tidak mendaftar ini," katanya.
Pada majlis itu, seramai 40 ibu tunggal dan 40 anak yatim, yang merupakan penerima faedah Perkeso diraikan pada majlis berbuka puasa tersebut.
Sumbangan berupa hamper barangan dan wang sagu hati disampaikan sebagai salah satu aktiviti tanggungjawab sosial korporat Perkeso.
#000 #berkuat kuasa 15 Julai ini #Majikan yang didapati gagal mendaftar atau mencarum pekerja mereka dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bakal berdepan tindakan tegas termasuk dikenakan kompaun sehingga RM4 #Mohammed Azman Aziz Mohammed