PUTRAJAYA: Tindakan Thailand yang mula mengawal eksport gula mentah tidak akan menjejaskan bekalan komoditi itu di Malaysia kerana dua syarikat pengilang gula terbesar di negara ini tidak bergantung kepada bekalan dari negara berkenaan.

Dua syarikat itu ialah MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM) dan Central Sugars Refinery Sdn Bhd (CSR).

Bercakap kepada media selepas meninjau harga ayam di pasar raya Lotus's di sini hari ini, Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali berkata CSR dan MSM memperoleh bekalan gula mentah daripada sumber lain selain Thailand.

"Jadi dengan apa yang berlaku di negara itu (Thailand), kekurangan eksport atau kenaikan (harga) gula mentah tidak akan memberi kesan kepada kita kerana kita tidak ambil gula mentah dari sana," katanya.

Ia sebagai mengulas keputusan Thailand baru-baru ini untuk mula mengawal selia harga domestik dan eksport gula dalam usaha mengawal inflasi serta mengekalkan keterjaminan makanan di negara itu.

Thailand merupakan pengeluar gula mentah kedua terbesar di dunia selepas Brazil dan bekalan gula mentah Malaysia diperoleh dari Brazil sepenuhnya sejak awal tahun ini.

Bagaimanapun, Armizan menjelaskan Malaysia sedang berdepan dengan kenaikan harga gula mentah yang tinggi di peringkat global iaitu sebanyak 52 peratus berbanding pada 2021, yang secara tidak langsung ia memberi kesan di peringkat runcit.

"Difahamkan kedua-dua syarikat pengeluar gula berhadapan dengan masalah kerana bagi setiap kilogram (kg) gula kasar yang dijual pada harga RM2.85, mereka sebenarnya rugi sebanyak 88 sen.

"Sekarang kita sedang jalankan libat urus dengan kedua-dua syarikat tersebut dan cuba untuk menangani masalah ini kerana mereka merupakan jaminan bekalan gula yang ada di negara kita," katanya.

Sementara itu, Armizan mengakui terdapat gangguan bekalan gula di sesetengah kawasan hingga wujud had pembelian, contohnya hanya dua pek atau dua kg yang boleh dibeli oleh setiap individu biarpun bekalan gula ada dalam negara.

Menurutnya terdapat pasar raya atau kedai runcit membuat peraturan sendiri untuk hadkan pembelian bagi membolehkan semua pengguna dapat bekalan gula yang mencukupi.

-- BERNAMA