SEPANG: Kementerian Kesihatan (KKM) boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang didapati memalsukan keputusan kit saringan pantas (RTK) antigen dalam aplikasi MySejahtera, kata Menterinya Khairy Jamaluddin.

Bercakap kepada media selepas Majlis Pelancaran MyCHAMPION Peringkat Kebangsaan, Khairy berkata perbuatan melaporkan keputusan saringan COVID-19 yang palsu adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata majikan boleh melaporkan kepada KKM sekiranya mendapati pekerjanya melaporkan keputusan COVID-19 yang palsu.

"Sudah tentu kalau majikan nak semak, mungkin kalau dia (pekerja) nak tipu, nasib dia tak baik majikan suruh buat RTK profesional, dia 'kantoi'. Kita boleh ambil tindakan undang-undang. Jadi jangan sampai kita terpaksa ambil tindakan undang-undang kerana salah lapor dalam MySejahtera yang menjadi kesalahan," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan membenarkan masyarakat melaporkan ujian kendiri COVID-19 dalam MySejahtera tanpa memerlukan mereka membuat saringan profesional, sebagai persediaan memasuki fasa peralihan ke endemik.

"Bila kita masuk fasa peralihan (endemik), kita kena banyak bergantung kepada solidariti komuniti dan kebertanggungjawaban individu. Ini takkan semua benda kerajaan nak periksa, kuat kuasa dan denda.

"Jadi saya merayu kepada rakyat Malaysia bila kita dah bagi tanggungjawab kepada anda untuk buat ujian kendiri mestilah jujur, jangan semata-mata nak ponteng kerja pergi melaporkan keputusan positif yang palsu," katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Khairy berkata KKM tidak berkongsi data pengguna MySejahtera dengan mana-mana pihak.

"Buat masa ini, MySejahtera dimiliki oleh KKM termasuk segala data yang berada dalam aplikasi itu, tiada isu keselamatan data kerana ia dikendalikan oleh KKM dan data itu tidak boleh digunakan untuk matlamat lain selain memantau pandemik COVID-19," katanya.

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata Malaysia berkemungkinan akan melaksanakan kajian sama ada plastik kini berada dalam sistem darah manusia seperti yang dilaporkan oleh saintis dari Belanda.

"Saya terkejut bila baca dapatan tersebut daripada saintis di Belanda. Saya rasa perkara ini saya akan bangkitkan dengan Institut Penyelidikan Kesihatan Malaysia, mungkin kita juga boleh buat kajian tersebut di sini untuk melihat sama ada plastik sudah masuk dalam sistem darah kita," katanya.

Semalam, media melaporkan kajian terbaharu mendedahkan mengenai penemuan pertama dan mengejutkan mikroplastik atau kepingan kecil plastik berdiameter kurang daripada lima milimeter dalam darah manusia.

Dalam kajian tersebut, saintis-saintis di Belanda mengambil sampel darah daripada 22 penderma dewasa yang sihat secara rawak dan analisis mendapati 17 daripada sukarelawan tersebut mempunyai mikroplastik dalam darah mereka.

Mikroplastik pernah ditemukan di dalam otak, usus, plasenta bayi yang belum lahir dan najis orang dewasa dan bayi tetapi ini pertama kali ia dijumpai dalam darah manusia.

-- BERNAMA