NATIONAL

Tingkat kesedaran pemeliharaan marin melalui kewartawanan

Harits Asyraf Hasnan 22/05/2025 | 02:50 MYT
Antara aktiviti utama ialah demonstrasi pemindahan telur penyu ke kawasan inkubasi selamat. - Foto Masscomm UiTM Melaka
MELAKA: Seramai 47 mahasiswa daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka menerusi Kelab Kewartawanan Mahasiswa telah menyertai program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dan Kewartawanan Alam Sekitar di Pusat Konservasi Penyu, Padang Kemunting, Masjid Tanah, Melaka baru-baru ini.

Program yang bertemakan "Menjaga Alam, Mewartakan Harapan" ini bertujuan meningkatkan kesedaran mahasiswa terhadap isu pemeliharaan hidupan marin serta mengasah kemahiran kewartawanan berorientasikan kelestarian alam sekitar.

Pusat konservasi yang diuruskan oleh Jabatan Perikanan Negeri Melaka itu menjadi lokasi utama dalam pemuliharaan penyu agar dan penyu karah yang semakin terancam.

Menurut Penasihat Program, Shafezah Abdul Wahab, pendedahan seperti ini mampu memperkasa pelajar dalam memahami peranan kewartawanan alam sekitar dalam membentuk naratif lestari kepada masyarakat.

“Program ini bukan sahaja mendekatkan pelajar kepada usaha konservasi, malah memberi peluang mereka menghasilkan laporan dan rencana yang berpaksikan realiti di lapangan,” katanya.


Antara aktiviti utama ialah sesi bimbingan bersama pegawai Jabatan Perikanan mengenai biologi dan ancaman penyu, demonstrasi pemindahan telur penyu ke kawasan inkubasi selamat, proses penetasan telur penyu dan gotong-royong membersihkan pantai.


Selain itu, bengkel penulisan berita alam sekitar turut diadakan di mana pelajar menghasilkan laporan berdasarkan pemerhatian dan temu bual bersama pegawai konservasi.

Peserta program, Wan Nur Khatijah binti Wan Ahmad Hussaini menyatakan bahawa penyertaan pelajar dari pelbagai program pengajian memberikan nilai tambah kepada wacana kewartawanan yang lebih holistik dan inklusif.

“Kami percaya isu alam sekitar bukan hanya milik satu disiplin sahaja. Jurnalisme berperanan membuka mata masyarakat terhadap pentingnya keseimbangan ekologi,” katanya.


Pihak Pusat Konservasi Penyu turut menyambut baik inisiatif ini dan mengalu-alukan penglibatan lebih banyak institusi pengajian tinggi dalam usaha memelihara warisan biodiversiti negara.

Program ini diharap dapat menjadi contoh kepada pendekatan kewartawanan lapangan yang berimpak tinggi, sekali gus memperkukuh hubungan antara institusi akademik, agensi kerajaan dan komuniti dalam menjayakan misi kelestarian alam sekitar.







#UiTM #CSR #penyu #Pusat Konservasi Penyu Padang Kemunting