awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
Lain-Lain
  • Teknologi
  • Podcast
Tiga wartawan antara 11 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan Israel di Gaza
Piala Dunia E-Sukan 2026 di Riyadh tawar hadiah AS$75 juta
SPRM buka kertas siasatan tatakelola, kesan kelemahan pengurusan e-waste
  • POLISI PRIVASI
  • TERMA PENGGUNAAN
  • IKLAN BERSAMA KAMI
  • PELABUR

© 2025 Astro AWANI Network Sdn. Bhd. 200001032668(535275-D) All Rights Reserved.

Tingkatan enam, matrikulasi bawah KPT perkukuh kesediaan pelajar ke universiti

Bernama
Bernama
21/01/2026
22:10 MYT
Tingkatan enam, matrikulasi bawah KPT perkukuh kesediaan pelajar ke universiti
KPT akan mengambil alih sepenuhnya sistem pendidikan prauniversiti melibatkan tingkatan enam dan matrikulasi bermula tahun ini. - Gambar hiasan/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Sistem pendidikan prauniversiti membabitkan tingkatan enam dan matrikulasi yang diambil alih Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bermula tahun ini, dilihat mampu memastikan peralihan pelajar ke ekosistem pendidikan tinggi berlangsung dengan lebih tersusun dan selari.

Ringkasan AI
  • Pengambilalihan sistem pendidikan prauniversiti oleh KPT dimulai tahun ini dianggap penting bagi menyelaraskan penilaian pelajar dengan kaedah universiti, termasuk penggunaan PNGK.
  • Negara-negara lain mengamalkan sistem pendidikan K-12, sementara di Malaysia, penambahbaikan prauniversiti di bawah satu kementerian dijangka membolehkan peningkatan tadbir urus, kurikulum, dan kualiti pengajaran secara bersepadu.
  • Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026-2035, yang diumumkan oleh Perdana Menteri, dilihat sebagai peluang untuk memperkukuh sistem pendidikan negara dan memberikan pendidikan berkualiti, inklusif, dan saksama kepada semua pelajar tanpa mengira latar belakang.

Naib Canselor Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) Profesor Dr Khairul Salleh Mohamed Sahari berkata langkah itu merupakan satu penambahbaikan penting kerana pelajar akan mula didedahkan dengan kaedah penilaian digunakan di universiti, termasuk penggunaan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK).
"Di peringkat sekolah, pelajar tidak menggunakan PNGK namun apabila mereka memasuki matrikulasi atau STPM (Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia), penilaian berasaskan PNGK mula diperkenalkan dan ini selari dengan kaedah penilaian di institusi pengajian tinggi," katanya ketika menjadi tetamu program Malaysia Petang Ini bertajuk 'STPM, Matrikulasi Kini Pendidikan Tinggi' yang disiarkan di Bernama TV semalam.
Khairul Salleh berkata negara lain mengamalkan sistem pendidikan K-12, iaitu 12 tahun pendidikan formal sebelum pelajar melangkah ke peringkat pendidikan tinggi.
Beliau berkata di Malaysia, pelajar lazimnya menamatkan pendidikan formal selama 11 tahun selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dengan tahun ke-12 diisi melalui STPM, Matrikulasi atau aliran setara seperti A-Level dan program asasi yang ditawarkan universiti.
Beliau berkata penyelarasan prauniversiti di bawah satu kementerian akan membolehkan penambahbaikan tadbir urus, kurikulum dan kualiti pengajaran dilaksanakan secara lebih bersepadu.
"Dengan penyelarasan ini, kita boleh memantapkan saluran prauniversiti supaya pelajar yang melangkah ke universiti benar-benar bersedia dari segi akademik dan kaedah pembelajaran," katanya.
Pada Selasa, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melancarkan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 berkata KPT akan mengambil alih sepenuhnya sistem pendidikan prauniversiti melibatkan tingkatan enam dan matrikulasi bermula tahun ini.
Beliau berkata pengambilalihan itu secara rasmi meletakkan kedua-dua aliran berkenaan sebagai sebahagian daripada pendidikan tinggi negara.
Sementara itu, aktivis sosial Tan Sri Lee Lam Thye dalam kenyataan berasingan berkata Rancangan Pendidikan Nasional 2026-2035 membuka peluang besar untuk memperkukuh semula sistem pendidikan negara dan tepat pada masanya untuk membentuk masa depan negara melalui pendidikan.
"Kejayaan rancangan ini tidak harus diukur berdasarkan cita-cita semata-mata, tetapi sejauh mana ia mampu menyediakan pendidikan berkualiti, inklusif dan saksama kepada setiap anak Malaysia tanpa mengira latar belakang sosioekonomi atau lokasi geografi.
"Usaha merapatkan jurang bandar-luar bandar, memperkukuh kemahiran asas literasi dan numerasi, meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris serta memastikan kurikulum kekal relevan dalam era pendigitalan, kecerdasan buatan dan perubahan iklim merupakan keutamaan yang tidak boleh dikompromi," katanya.
Selain itu, Lee berkata pelaburan berterusan dalam pembangunan profesional guru, pengurangan beban pentadbiran yang tidak perlu serta pemeliharaan kebajikan dan motivasi amat penting untuk meningkatkan kualiti pembelajaran.
Di samping itu, beliau berkata sekolah mesti menjadi persekitaran selamat, inklusif dan bebas daripada buli, serta aspek kesejahteraan mental, pembentukan sahsiah dan tanggungjawab sivik pelajar perlu diberi tumpuan.
-- BERNAMA
Topic Berkaitan
#Tingkatan Enam
#matrikulasi
#Kementerian Pendidikan Tinggi
#Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
Iklan