NATIONAL
Tingkatkan hasil negeri, minimumkan ketirisan - Sultan Kedah

Sultan Sallehuddin bertitah, tindakan penguatkuasaan secara berterusan hendaklah dilaksanakan dan hukuman tegas haruslah dikenakan ke atas setiap kesalahan yang dilakukan.
ALOR SETAR: Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah agar kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor meningkatkan hasil pendapatan negeri.
Menurut baginda, langkah berkenaan adalah bagi memastikan setiap pembangunan yang dirancang dapat direalisasikan sekali gus menjamin kesejahteraan rakyat di negeri Jelapang Padi itu.
"Dalam masa yang sama, beta ingin menegaskan kepada pihak yang terlibat untuk memastikan ketirisan hasil negeri dapat diminimumkan kerana ia menyebabkan kerugian hasil kepada kerajaan beta,
"Tindakan penguatkuasaan secara berterusan hendaklah dilaksanakan dan hukuman tegas haruslah dikenakan ke atas setiap kesalahan yang dilakukan," titahnya.Sultan Sallehuddin bertitah demikiam ketika Istiadat Perasmian Pembukaan Persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Ke-15 di Wisma Darul Aman pada Ahad.
Dalam perkembangan sama, baginda turut menyarankan agar kawasan perindustrian sedia ada diperkasakan, selain penerokaan dilaksanakan di lokasi baharu yang berpotensi untuk dimajukan.
Sultan Kedah turut menyarankan agar kedudukan negeri itu yang berjiran dengan Thailand dapat dimanfaatkan melalui pembangunan bandar sempadan yang melibatkan pelbagai peluang ekonomi serta perniagaan rentas sempadan terutama sebagai hub logistik dan industri.
"Dengan mengambil kira konsep supply and demand, Kerajaan Negeri dan Persekutuan hendaklah memberi tumpuan kepada penyediaan infrastruktur yang lengkap.
"Apabila ekosistem pelaburan dapat diwujudkan, barulah pelabur berminat untuk datang ke Negeri Kedah," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami