Tingkatkan penglibatan swasta untuk percepat program vaksinasi rakyat - MMA

Bernama
Januari 28, 2021 20:45 MYT
Peningkatan penglibatan klinik swasta dalam program vaksinasi negara akan turut membantu kerajaan mengurangkan kesesakan di lokasi pemvaksinan secara keseluruhan. - Gambar fail/Reuters
KUALA LUMPUR: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa agar kerajaan memaksimumkan akses pengagihan vaksin dengan lebih meluas kepada rakyat negara ini menerusi penglibatan doktor swasta.
Presiden MMA Profesor Datuk Dr Subramaniam Muniandy berkata langkah ini akan mempercepat program vaksinasi.
"Dalam pelannya, kerajaan hendaklah mengutamakan lokasi dengan penduduk yang ramai kerana mereka mempunyai risiko jangkitan COVID-19 lebih tinggi.
"Banyak klinik swasta terletak di kawasan ini, oleh itu, akses akan lebih cepat dan mudah kepada penduduk.
"Juga, banyak pesakit diuruskan doktor swasta mempunyai komorbiditi yang sudahpun melayakkan mereka menerima vaksin seperti pelan semasa dalam program vaksinasi negara untuk mengutamakan vaksinasi kepada kumpulan rentan," menurutnya dalam kenyataan pada Khamis.
Dr Subramanian berkata peningkatan penglibatan klinik swasta dalam program vaksinasi negara akan turut membantu kerajaan mengurangkan kesesakan di lokasi pemvaksinan secara keseluruhan.
Beliau berkata ini akan turut mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja dan sumber kerajaan dalam melaksanakan program itu kerana klinik swasta akan menggunakan kakitangan mereka sendiri.
"Doktor terbabit juga mempunyai pengalaman dalam menyelaras program berskala besar kerana ketika ini, ramai doktor swasta yang terlibat dalam ujian saringan massa COVID-19 bagi pekerja asing dan komuniti di mana klinik mereka berada.
"Kesemua program ini diselaraskan secara individu oleh klinik yang mengambil bahagian," katanya.
-- BERNAMA
#MMA #vaksin #pengagihan vaksin #vaksin malaysia #Dr Subramaniam Muniandy #doktor swasta #COVID-19 #program vaksinasi #ujian saringan #Malaysian Medical Association #pekerja asing