KUALA LUMPUR: Tahap sara diri beras yang masih rendah di Sabah dan Sarawak perlu diteroka dari pelbagai aspek bagi meningkatkan bekalan beras, termasuk mengembangkan potensi beras spesialti bagi mencapai objektif tersebut.

Pengerusi Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) Tan Sri Nor Mohamed Yakcop memaklumkan banyak aspek termasuk peningkatan pendapatan petani dan pertanian lestari melalui amalan pertanian yang baik perlu diambil kira.

“Oleh kerana tahap sara diri beras yang masih rendah di Sabah dan Sarawak, amat wajar bagi kita meneroka dari pelbagai aspek bagi meningkatkan bekalan padi dan beras di sana termasuk mengembangkan potensi beras spesialti bagi mencapai objektif tersebut.

“Walau bagaimanapun, tahap sara diri bukanlah satu-satunya aspek yang perlu diteliti, kita juga perlu mengambil berat tentang aspek lain seperti peningkatan pendapatan para petani, harga makanan dan juga pertanian lestari melalui amalan pertanian yang baik,” ujarnya pada majlis pelancaran laporan Industri Padi dan Beras Sabah dan Sarawak: Status dan Potensi di sini, pada Selasa. 

Dalam pada itu, katanya majoriti petani tergolong dalam golongan B40 justeru peluasan pasaran beras spesialti dapat membantu meningkatkan pendapatan golongan itu secara keseluruhannya.

Katanya, ia sekali gus dapat mengiktiraf sumbangan petani yang sentiasa membanting tulang dalam memastikan kecukupan keperluan beras negara.

Dalam pada itu beliau menekankan Sabah dan Sarawak mempunyai potensi bagi memperkembangkan dan mengkomersialkan industri beras negara dengan terdapat lebih daripada 500 varieti beras unik yang sebahagiannya boleh diklasifikasikan sebagai beras spesialti.