KUALA LUMPUR: Sekolah ditutup akibat jerebu, namun bagi sesetengah ibu bapa, cabaran sebenar bermula apabila mereka terpaksa mengambil alih peranan guru di rumah.
Daripada mengurus jadual pembelajaran hingga memastikan anak-anak menyiapkan tugasan, pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) menuntut penyesuaian rutin harian keluarga.
Tinjauan Astro AWANI di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras pada pagi hari ini mendapati ibu bapa dan penjaga berdepan cabaran berbeza, termasuk penggunaan teknologi, pengurusan masa serta pemantauan anak-anak.
Jadual tidak menentu, tugasan perlu dicetak
Bagi ejen insurans, Suria Hussain, cabaran bermula apabila cucunya sukar mengikuti rutin pembelajaran yang konsisten sepanjang berada di rumah.
Beliau yang menjaga cucunya ketika ibu bapanya bekerja berkata, urusan mengakses platform pembelajaran serta mencetak tugasan turut menambah beban harian.
"Dia (cucunya) tak ikut dia punya masa, sekejap nak mandi, sekejap nak makan.
"Nak masuk dia kelas dalam talian untuk PdPR, dua tiga kali masuk dan keluar. Ada sesetengah itu perlu fotostat, bukan sekadar memuat naik aktiviti dalam sistem dalam talian," kata Suria kepada Astro AWANI.
Suria turut membangkitkan kebimbangan terhadap murid yang tidak mempunyai penjaga di rumah untuk memantau pembelajaran mereka.
"Sebab saya boleh tengok dia (cucunya). Untuk mak ayah yang bekerja, yang tak ada orang pantau anak-anak di rumah, itu lagilah bermasalah," katanya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan lebih banyak sesi pembelajaran secara langsung supaya murid dapat mengikuti aktiviti bersama guru mengikut jadual ditetapkan.
"Biar bersemuka tetapi secara online (dalam talian) pun tak apa jadi kita buat aktiviti on the spot (secara langsung)," katanya.
Beliau berpandangan pendekatan itu dapat membantu murid memberikan tumpuan berbanding hanya menerima tugasan untuk disiapkan secara kendiri.
Kelas maya tidak penuh, bahan pembelajaran terhad
Sementara itu, bapa kepada tiga anak, Muhd Faiz Ahmad Kamal Ariffin berkata, kehadiran murid dalam kelas maya yang diperhatikannya kadangkala tidak mencapai jumlah penuh.
"Daripada 32 orang sepatutnya berada dalam satu kelas tapi yang online (dalam talian) tu hanya 23 orang. Malah pernah separuh sahaja daripadanya yang hadir," katanya.
Bagaimanapun, pemerhatian itu melibatkan kelas tertentu dan bukan gambaran keseluruhan penyertaan murid dalam PdPR.
Ini kerana pembelajaran tidak semestinya berlangsung secara langsung, sebaliknya turut melibatkan kuiz atau tugasan dalam talian yang boleh disiapkan mengikut tempoh ditetapkan guru.
Justeru, murid yang tidak berada di hadapan skrin sepanjang waktu persekolahan tidak semestinya mengabaikan pembelajaran.
Faiz turut berdepan cabaran apabila seorang anaknya yang bersekolah di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Batu Pahat pulang tanpa membawa buku teks.
Katanya, mereka pada awalnya menyangka penutupan sekolah hanya berlangsung dua hari, namun keadaan berlarutan sehingga kira-kira seminggu.
"Kita tak tahu berapa lama PdPR ni berlangsung, kita sangkakan dua hari sahaja, rupanya berlarutan sehingga seminggu, jadi kita tak bersedia, kita hanya bawa baju sahaja, buku sekolah tidak," katanya.
Keluarga itu akhirnya terpaksa mendapatkan buku teks secara dalam talian bagi memastikan pembelajaran anak mereka tidak terganggu.
Sebagai langkah penambahbaikan, Faiz mencadangkan kemudahan komuniti seperti dewan pangsapuri dimanfaatkan sebagai ruang pembelajaran bersama bagi murid yang menghadapi kesukaran mengikuti PdPR.
Menurutnya, penggunaan ruang itu untuk beberapa jam sehari boleh dipertimbangkan sekiranya keadaan udara selamat dan kemudahan bersesuaian tersedia.
"Mungkin komuniti boleh menyediakan dewan untuk digunakan beberapa jam sehari sebagai ruang pembelajaran bersama, khususnya bagi anak-anak yang menghadapi kesukaran mengikuti PdPR," katanya lagi.
Sekolah tutup bukan bermakna cuti
Bagi isteri Faiz, Nurul Syahirah Mohd Jamil, cabaran utama pula ialah memastikan anak-anak memahami bahawa penutupan sekolah bukan bermakna mereka sedang bercuti.
Suri rumah itu berkata, beliau terpaksa menyesuaikan rutin harian sendiri untuk membimbing dua anaknya yang masih bersekolah rendah.
"Saya yang mungkin ada rutin sendiri pun terpaksa jadi cikgu juga di rumah," katanya.
Syahirah turut berharap persediaan menghadapi penutupan sekolah dibuat lebih awal, khususnya bagi murid yang bakal menduduki peperiksaan.
Katanya, pemakluman tugasan dan kaedah pembelajaran lebih awal membolehkan ibu bapa menyediakan kelengkapan serta menyusun jadual keluarga.
"Kita memang kena bersedia dari awal. Dari sudut nak buat kelas dalam talian ataupun kalau ada kerja sekolah, bagi tahu siap-siap lah pada ibu bapa supaya semua pihak dapat bersedia," katanya.
Kementerian Pendidikan (KPM) pada 8 Oktober mengarahkan sekolah di kawasan mencatatkan Indeks Pencemar Udara (IPU) melebihi 180 ditutup mulai 9 Oktober susulan kemerosotan kualiti udara.
Penutupan diperluas mulai 12 Oktober bagi kawasan mencatatkan IPU melebihi 150 selama tiga hari berturut-turut, dengan pembelajaran diteruskan melalui PdPR.
Pengalaman keluarga yang ditemui memperlihatkan bahawa penutupan sekolah bukan sekadar memindahkan bilik darjah ke rumah, sebaliknya turut menuntut kerjasama ibu bapa, penjaga, guru dan komuniti.
Sekolah mungkin perlu ditutup demi melindungi kesihatan murid, namun usaha memastikan pendidikan mereka tidak terhenti tetap perlu diteruskan.