MALAYSIA
Tiong minta pemain industri giatkan interaksi lebih agresif tarik pelancong luar

Tiong berkata kementeriannya sedang berusaha untuk mencapai sasaran kehadiran pelancongan 40 juta tahun ini selepas merekodkan 38 juta pada tahun lepas. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Semua pemain industri pelancongan tempatan termasuk pengusaha hotel, pengendali pelancongan dan ejen pelancongan digesa untuk lebih agresif meningkatkan kerjasama dan interaksi bersama rakan industri luar negara dalam usaha menarik lebih ramai pelancong asing ke Malaysia.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing berkata ejen pelancongan khususnya memainkan peranan penting sebagai penghubung utama dalam menawarkan pakej bersepadu, mempromosi destinasi baharu dan memastikan pelancong luar mendapat pengalaman yang berkualiti serta berbaloi.
"Malaysia mempunyai kelebihan dari segi kepelbagaian produk pelancongan, budaya serta hospitaliti, namun kelebihan ini tidak akan menyerlah tanpa jaringan kerjasama yang lebih agresif, khususnya dengan ejen pelancongan antarabangsa yang mampu membawa masuk kumpulan pelancong dalam skala besar," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan mandat pada sesi Mesyuarat bersama Pengarah-Pengarah Tourism Malaysia Luar Negara di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini pada Selasa.Turut hadir Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) S. Surrendren serta Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) MOTAC Chua Choon Hwa.
Tiong dalam pada itu mengakui terdapat beberapa permasalahan yang perlu diberi perhatian bagi meningkatkan jumlah ketibaan pelancong asing, antaranya isu ketersambungan penerbangan terus, kurang promosi digital yang menyeluruh di pasaran utama, serta persaingan sengit daripada destinasi serantau.
"Promosi kita perlu dilakukan secara lebih agresif, kreatif dan bersasar khususnya dalam platform digital. Tonjolkan di pasaran antarabangsa dengan naratif yang segar dan berimpak tinggi. Dalam masa sama, akses penerbangan terus dari pasaran utama juga perlu diperluas bagi memudahkan kemasukan pelancong," katanya.
Beliau menegaskan kerjasama erat antara sektor awam dan swasta termasuk syarikat penerbangan, pengendali pelancongan, agensi digital dan ejen pelancongan luar negara amat penting bagi memastikan inisiatif promosi berjalan lancar, sekali gus menyokong sasaran Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
Kerajaan sebelum ini menetapkan sasaran menarik sekurang-kurangnya 35 juta pelancong antarabangsa dengan pendapatan pelancongan melebihi RM147 bilion pada TMM2026.
Dalam konteks ini, Tiong berkata ejen pelancongan tidak boleh bergantung pada cara lama dan perlu bijak menawarkan pakej bernilai tambah yang menekankan keunikan Malaysia termasuk ekopelancongan dan pelancongan kesihatan.
Pada sidang media kemudiannya, Tiong berkata kementeriannya sedang berusaha untuk mencapai sasaran kehadiran pelancongan 40 juta tahun ini selepas merekodkan 38 juta pada tahun lepas.
"Sehingga Jun tahun ini, kita sudah memperoleh 20.6 juta pelancong. Jadi, saya percaya sasaran kedatangan 40 juta itu boleh dicapai dengan kerjasama semua pihak. Kita tidak boleh berpuas hati kerana persaingan destinasi lain juga amat sengit," katanya.
Beliau turut menekankan pasaran utama seperti China, India, Timur Tengah serta negara ASEAN lain sebagai antara fokus yang perlu diperkukuh dengan kempen pemasaran tersendiri.
Sesi Mesyuarat Pengarah-Pengarah Tourism Malaysia Luar Negara 2025 yang berlangsung selama tiga hari berakhir pada Selasa, bertujuan membentangkan pelan tindakan menjelang VM2026.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami