TENOM: Sebuah syarikat pelancongan akan didakwa di mahkamah pada Selasa depan atas kegagalan mematuhi keputusan Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) agar membayar penganugerahan kepada 47 orang mangsa penipuan pakej umrah pada Oktober tahun lepas.

Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali, notis pendakwaan telah diserahkan kepada syarikat yang berpangkalan di Putrajaya itu selepas KPDN melengkapkan siasatan terhadap 88 kertas siasatan yang telah dibuka.

"Pada hari Selasa ini ada satu syarikat yang berpangkalan di Putrajaya telah pun diberikan notis untuk proses pendakwaan di mahkamah di bawah Seksyen 117 (1) Akta Perlindungan Pengguna 1999 atas aduan ketidakpatuhan terhadap anugerah yang telah diputuskan oleh Tribunal Tuntuan Pengguna Malaysia (TTPM).

"Jadi, di peringkat KPDN kita telah melaksanakan segera siasatan menyeluruh," ujar Armizan dalam satu sidang media sewaktu melakukan tinjauan pelaksanaan Program Pengedaran Barang Perlu, LPG dan Community Drumming, di sini, hari ini.

Tambah Armizan, KPDN akan mengadakan perbincangan segera melalui sebuah jawatankuasa melibatkan Kementerian Pelancongan, Seni dan budaya (MOTAC), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Wakaf, Zakat Dan Haji (JAWHAR), dan Jabatan Peguam Negara bagi menangani kes penipuan haji dan umrah yang semakin berleluasa di negara ini.

"Saya telah memaklumkan kepada Ketua Setiausaha KPDN supaya kita merintis usaha penyelarasan di antara pelbagai agensi, KPDN dari aspek kepenggunaan, MOTAC, Pejabat Peguam Negara, dan juga PDRM untuk kita bergerak ke hadapan melihat apakah perkara-perkara dari segi kerangka perundangan, proses dan sebagainya yang boleh ditambah baik supaya kita dapat memastikan perlindungan yang lebih baik kepada rakyat kita yang ingin menunaikan umrah," kata Armizan.

Pada 22 Disember 2023, 47 orang mangsa penipuan umrah telah membuat aduan kepada KPDN selepas sebuah syarikat pelancongan gagal membayar penganugerahan yang diputuskan oleh TTPM terhadap mangsa pada Oktober tahun yang sama.