[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
MALAYSIA

Tipu pakej haji: Lelaki direman empat hari

Sinar Harian 16/06/2025 | 05:00 MYT
Suspek dibawa polis ke mahkamah untuk permohonan reman. - Foto Sinar Harian
SEREMBAN: Seorang lelaki direman selama empat hari selepas disyaki terlibat dalam kes penipuan pakej haji melibatkan sekumpulan jemaah warga emas yang didakwa dikurung di Arab Saudi baru-baru ini.

Ringkasan AI
  • Seorang lelaki berusia 60 tahun direman empat hari kerana disyaki menipu sekumpulan jemaah haji warga emas dalam kes penipuan pakej haji yang menyebabkan mereka dikurung di Arab Saudi.
  • Jumlah kerugian dianggarkan RM81,000, dengan setiap mangsa dikenakan bayaran sekitar RM27,000 bagi pakej yang akhirnya tidak sah.
  • Polis menyeru mangsa lain tampil buat laporan, kerana siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan untuk mengenal pasti sama ada ia melibatkan individu atau syarikat.

Perintah reman terhadap suspek lelaki berusia 60 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Fairuz Syuhada Amran di Mahkamah Majistret di sini pada Isnin, bermula 16 Jun hingga 19 Jun.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, suspek ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Ahad.
“Dia ditahan bersama jemaah haji lain yang selamat tiba di KLIA semalam dan siasatan lanjut akan dijalankan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, suspek ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes penipuan pakej haji melibatkan tiga beranak dari Mantin, yang berusia antara 30-an hingga 60-an.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, dan pihak polis tidak menolak kemungkinan terdapat mangsa lain yang turut terlibat.
“Kita masih menyiasat sama ada penipuan ini dilakukan atas kapasiti individu atau melibatkan sebuah syarikat.
“Justeru, kita menyeru agar mana-mana mangsa yang terlibat tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan,” katanya.
Tambah beliau, jumlah kerugian keseluruhan yang ditanggung mangsa dianggarkan sebanyak RM81,000, dengan setiap individu dikenakan bayaran sebanyak RM27,000.
Sebelum ini, media melaporkan hasrat sekumpulan jemaah warga emas dari Malaysia untuk menunaikan haji bertukar menjadi mimpi ngeri apabila mereka didakwa ditipu oleh seorang ejen haji tempatan.
Jemaah berkenaan mendakwa berdepan dengan pelbagai kesukaran, termasuk dipaksa meredah laluan berbahaya dengan berjalan kaki tanpa dokumen ke Makkah sebaik tiba di Jeddah, susulan kawalan ketat pihak berkuasa Arab Saudi terhadap jemaah yang tidak mempunyai visa haji.
Kumpulan tersebut juga mendakwa telah dikurung dan dikunci dalam bilik gelap dan sempit, serta diminta membuat bayaran tambahan lebih RM9,000 untuk mendapatkan semula barangan yang ditinggalkan, walaupun mereka telah membayar RM30,000 bagi pakej haji bersama agensi berkenaan. -- Sinar Harian
#tipu pakej haji #Lelaki ditahan #Visa #warga emas dikurung #Mekah #terkini