NATIONAL

Tipu skim perumahan RIBJ: Penjawat awam, bekas eksekutif mengaku tidak bersalah

Sinar Harian 26/05/2025 | 06:30 MYT
Seorang penjawat awam dan bekas eksekutif kewangan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan menipu membabitkan Projek Perumahan RIBJ melibatkan kerugian keseluruhan RM24,000. -Sinar Harian
JOHOR BAHRU: Seorang penjawat awam dan seorang bekas eksekutif kewangan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas dua pertuduhan menipu membabitkan Projek Perumahan Rumah Impian Bangsa Johor (RIBJ) melibatkan kerugian keseluruhan sebanyak RM24,000.


Ringkasan AI
  • Dua individu, seorang penjawat awam dan bekas eksekutif kewangan, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menipu berkaitan Projek Perumahan RIBJ yang melibatkan kerugian RM24,000.
  • Mereka didakwa memperdayakan dua mangsa dengan mendakwa boleh menguruskan pembelian rumah RIBJ walaupun bukan wakil sah, dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
  • Mahkamah membenarkan jaminan RM8,000 setiap seorang dengan seorang penjamin, dan menetapkan 25 Jun 2025 sebagai tarikh sebutan semula kes.


Tertuduh, M Thianmolly, 42, dan V Tara, 30, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Ariffin Ismail selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Kedua-dua tertuduh didakwa memperdayakan dua mangsa dengan mendakwa kononnya boleh membantu menguruskan pembelian rumah di bawah skim RIBJ, sedangkan mereka bukan pegawai atau wakil yang dilantik oleh Yayasan Sultan Ibrahim Johor.

Bagi pertuduhan pertama, mereka didakwa menipu V Vijayanathan, 48, di sebuah restoran di Setia Tropika, kira-kira jam 11 pagi pada 21 Februari 2021.

Mangsa kemudiannya memasukkan wang berjumlah RM8,000 ke dalam akaun milik Thianmolly.

Dalam pertuduhan kedua, mereka menggunakan modus operandi sama terhadap seorang wanita, Khoo Li Sa, 42, pada tarikh dan lokasi sama dan mangsa memindahkan RM16,000 ke akaun yang sama.

Kes didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun dan maksimum 10 tahun serta sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Asmah Zainal Ariffin mengendalikan pendakwaan manakala Thianmolly dan Tara masing-masing diwakili peguam Tan Po Au serta Amarpreet Singh.

Pihak pendakwaan mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 setiap seorang, namun peguam tertuduh merayu agar jumlah itu dikurangkan.

Po Au memohon jaminan lebih rendah memandangkan Thianmolly menghidap pelbagai komplikasi kesihatan termasuk kolesterol tinggi, diabetes, darah tinggi serta penyakit buah pinggang tahap empat selain turut menanggung ibunya berusia 74 tahun yang uzur dan mengalami masalah penglihatan.

Amarpreet pula memohon jaminan rendah untuk Tara yang menghidap skoliosis dan slip disc, tidak bekerja serta menanggung kedua ibu bapanya yang sakit.

Tambahan, Tara baru kehilangan suami dan akan mengadakan upacara sembahyang hari ke-16 pada minggu ini.

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM8,000 setiap seorang dalam bentuk cagaran wang tunai dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Jun 2025 sebagai tarikh sebutan semula kes serta serahan dokumen. -Sinar Harian





#Projek Perumahan RIBJ #penjawat awam #rumah RIBJ #M Thianmolly #V Tara