Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) akan mengambil tindakan serius kepada individu atau syarikat yang memalsukan dokumen tuntutan palsu bayaran balik menerusi Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri Subromaniam Tholasy menegaskan lebih banyak tindakan akan diambil susulan penipuan tersebut yang menyebabkan kerugian jutaan ringgit kepada Kerajaan.

"Perkara ini amat serius sebab syarikat didaftarkan tetapi tiada perniagaan. Kemudian mereka mengemukakan penyata dan menuntut ITC.

"Seolah-olah, kerajaan bayar dia (dalang) walaupun dia tiada perniagaan. Ini amat serius dan kita telah bekukan akaun-akaun mereka dan akan ada lagi tindakan susulan," katanya pada sidang media di Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Beliau mengulas pertuduhan terhadap sepasang suami isteri yang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas 11 pertuduhan membuat tuntutan palsu bayaran balik GST berjumlah RM745,838 daripada JKDM.

Pasangan suami isteri berkenaan dipercayai dalang utama penipuan tuntutan pulang balik GST berjumlah RM25.58 juta.

Subromaniam sebelum itu menandatangani prosedur operasi standard (SOP) Program Audit Bersama antara jabatannya dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Sabin Samitah.

Majlis tersebut disaksikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Mengulas berkenaan SOP tersebut, Mohd Irwan berkata pengauditan secara bersama itu akan membantu meningkatkan pematuhan perundangan yang ditadbir oleh JKDM dan LHDN dalam kalangan pembayar cukai agar dapat menyumbang kepada peningkatan hasil negara.

"Ia juga mengelakkan lawatan serta pengauditan berulang ke premis perniagaan pembayar cukai JKDM dan LHDN dan mengurangkan kos pematihan bagi pihak syarikat.

"Pada masa sama, ia akan membantu meningkatkan keberkesanan pengauditan melalui perkongsian maklumat antara kedua-dua agensi," katanya.

Justeru, beliau berharap inisiatif dibawah kerjasama Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) itu bakal membina satu rangkaian perkongisan maklumat antara agensi kerajaan bagi meningkatkan pengauditan berkesan.