KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki yang mendakwa dirinya 'Datuk Seri' dan dipercayai menipu seorang pelakon popular bagi membantu siasatan kes penipuan urusan penyambungan tender pembersihan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata lelaki berumur 26 tahun itu kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang dan akan diserah kepada IPD Sentul esok untuk siasatan lanjut.

"Semalam, polis terima satu laporan daripada seorang pelakon lelaki popular bergelar Datuk selepas menjadi mangsa tipu urusan penyambungan tender pembersihan dengan DBKL.

"Pelakon itu berkenalan dengan seorang lelaki tempatan yang memperkenalkan dirinya sebagai Datuk Seri dan menawarkan tender projek pembersihan daripada DBKL," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pelakon itu diminta untuk membayar satu peratus daripada nilai harga tender projek sebagai cagaran.

"Setelah persetujuan dibuat, mangsa memindahkan sejumlah wang sebanyak RM18,100 ke dalam akaun peribadi suspek.

"Setelah pembayaran dibuat, mangsa menghubungi suspek bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan tawaran projek itu namun pelbagai alasan diberikan," katanya.

Beh berkata kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan menggesa orang ramai agar tidak terpengaruh dan sentiasa berhati-hati dengan segala bentuk tawaran projek.

"Orang ramai juga boleh menghubungi CCID Response Center melalui talian 03-26101559/1559 jika mempunyai sebarang keraguan mahupun untuk maklumat berkenaan kegiatan jenayah komersial," katanya.

-- BERNAMA