[TERKINI] Kes Zara Qairina: JSJ Sahkan Pegawai Penyiasat Tidak Patuh SOP, Gagal Mohon Bedah Siasat – Ikuti Perkembangan Di Sini
MALAYSIA

Titah Adendum: Keputusan rayuan Peguam Negara diputuskan pagi ini

Khalis Khadir 13/08/2025 | 01:20 MYT
Najib dikawal oleh anggota pasukan keselamatan sebaik tiba di Mahkamah Persetujuan, Putrajaya, hari ini, bagi mendengar keputusan rayuan Peguam Negara dalam semakan kehakiman berkaitan Titah Adendum. - Gambar Astro AWANI/ SHAHIR OMAR
PUTRAJAYA: Rayuan Peguam Negara (AG) untuk menghalang bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam semakan kehakiman berkaitan Titah Adendum akan diputuskan Mahkamah Persekutuan pagi ini.

Keputusan itu akan disampaikan panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim.

Turut bersidang bersama ialah Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah.

Panel akan memutuskan sama ada mengekal atau mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengembalikan semakan kehakiman bekas Perdana Menteri itu kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk perbicaraan.

Jika rayuan ditolak, semakan itu akan diteruskan di Mahkamah Tinggi.

Namun, sekiranya rayuan dibenarkan, hasrat Najib untuk meneruskan semakan kehakiman ini bagi mendapatkan perintah mandamus supaya menjalani baki hukuman penjara di rumah akan berakhir.

Pada 9 Julai lalu, mahkamah selesai mendengar hujahan Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar dan Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan serta peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib.

Pada 6 Januari lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Najib untuk memulakan prosiding semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi bagi suatu perintah memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab serta mengesahkan kewujudan Titah Adendum bertarikh Januari tahun lalu.

Dalam semakan kehakiman itu, Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Antara relif yang dipohon dalam semakan kehakiman itu ialah supaya semua atau seorang daripada responden memberikan salinan titah utama oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 berhubung pengurangan hukuman penjara dan denda terhadapnya.

Najib juga memohon perintah jika titah itu wujud, semua responden atau seorang daripada mereka perlu melaksanakannya dengan memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur serta merta untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.

Bekas Presiden UMNO dan Ahli Parlimen Pekan itu yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja pada 2 September 2022.

Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.


#Titah Adendum #rayuan Peguam Negara #Mahkamah Persekutuan #Najib Razak