MALAYSIA
Titah Adendum: Mahkamah Persekutuan tetapkan 13 Ogos depan berhubung rayuan Peguam Negara

Mahkamah Persekutuan telah menetapkan 13 Ogos depan berhubung rayuan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dalam permohonan Najib berhubung mendapatkan perintah tahanan di rumah. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Mahkamah Persekutuan telah menetapkan 13 Ogos depan berhubung rayuan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dalam permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, berhubung mendapatkan perintah tahanan di rumah.
Salah seorang pasukan guaman kepada bekas Presiden UMNO itu, Muhammad Farhan Muhammad Shafee, mengesahkan tarikh tersebut ketika dihubungi oleh Astro AWANI.
"Ya, Pejabat Pendaftaran Mahkamah Persekutuan telah memaklumkan kepada kami bahawa keputusan permohonan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman berhubung isu tambahan akan dibuat pada 13 Ogos 2025, iaitu hari Rabu minggu hadapan,” katanya kepada Astro AWANI.
Mohd Dusuki telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 6 Januari lepas, yang telah mengembalikan kes Najib ke Mahkamah Tinggi.Memetik laporan media, Najib telah memohon perintah mandamus daripada mahkamah untuk mengarahkan kerajaan dan enam pihak lain mengesahkan kewujudan titah adendum oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Titah itu antara lain membolehkannya untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah yang masih pada peringkat permohonan kebenaran.
Dalam permohonan tersebut, Najib menamakan Mohd Dusuki selaku Peguam Negara, Kementerian Dalam Negeri, Ketua Pengarah Jabatan Penjara, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, Jabatan Perdana Menteri (Bahagian Undang-undang dan Reformasi Institusi), serta Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang sebagai responden.
Pada 3 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi telah menolak permohonan kebenaran Najib ditolak oleh Mahkamah Tinggi, namun keputusan itu telah dibatalkan dengan keputusan 2-1 oleh Panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Datuk Azizah Nawawi, yang kini merupakan Hakim Besar Sabah dan Sarawak.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami