Titah Agong bukti keabsahan kerajaan Perikatan Nasional berdasarkan Perlembagaan

Firdaus Azil
Mei 20, 2020 10:05 MYT
Al-Sultan Abdullah ketika merasmikan Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Dewan Rakyat, di sini pada Isnin. - Gambar fail
Pimpinan utama Perikatan Nasional PN dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) merafak sembah menjunjung kasih kepada Yang Di-Pertuan Agong atas Titah Diraja yang disampaikan pada istiadat pembukaan persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada 18 Mei 2020.
Dalam satu kenyataan bersama hari ini, mereka berkata, Titah Tuanku menjadi bukti jelas keabsahan kerajaan Perikatan Nasional yang dibentuk berasaskan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
Ia juga mengukuhkan prinsip Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen yang diamalkan di negara ini, kata mereka lagi.
“Titah Tuanku juga memberikan dorongan semangat dan kekuatan kepada kerajaan Perikatan Nasional untuk terus berkhidmat kepada rakyat. Paling penting bagi kerajaan ialah melaksanakan amanah bagi memastikan kebajikan rakyat sentiasa dipelihara.
“Sebagai kerajaan Ke-bawah DYMM Tuanku, kerajaan Perikatan Nasional akan sentiasa menjunjung titah Tuanku yang berkehendakkan keutamaan sentiasa diberikan kepada kesejahteraan rakyat jelata,” menurut kenyataan itu lagi.
BACA: Tun Mahathir kekal pendirian lepas jawatan, Agong perjelas lantikan PM baharu
#Anwar Ibrahim #Dewan Rakyat #Muhyiddin Yassin #Parlimen #Tan Sri Muhyiddin Yassin #tuanku #Tun Dr Mahathir Mohamad #Yang di-Pertuan Agong #ydp agong