MALAYSIA

Titah Agong pada Istiadat Pembukaan Parlimen

Astro Awani 19/01/2026 | 04:00 MYT
Sultan Ibrahim berkenan berangkat merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15, di Kuala Lumpur, hari ini. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Segala puji bagi Allah, Tuhan pentadbir seluruh alam.

Selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, semulia-mulia rasul serta keluarga dan para sahabatnya sekalian.

Yang di-Pertua Dewan Negara,
Yang di-Pertua Dewan Rakyat,
Ahli-Ahli Dewan Negara dan Dewan Rakyat,
Saudara-saudari yang saya hormati sekalian.

Alhamdulillah, syukur saya ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan limpah kurnia dan izinNya, dapat saya hadir ke Istiadat Pembukaan Penggal Kelima, Parlimen Kelima Belas, pada pagi yang mulia ini.

Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan tahniah atas kejayaan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun lalu dan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur.

Syabas juga saya ucapkan, walaupun dunia menghadapi pelbagai cabaran, namun Malaysia masih berjaya mencatat pertumbuhan ekonomi positif sebanyak 4.7 peratus pada tahun lalu, dengan kadar pengangguran dan inflasi kekal rendah serta kemiskinan tegar berada pada paras 0.09 peratus.

Tahun ini adalah merupakan permulaan Rancangan Malaysia Ketiga Belas.

Saya mahu rancangan ini memberi tumpuan kepada kesejahteraan rakyat, terutama dalam bidang pendidikan, perumahan, kesihatan dan pengangkutan awam.

Suka saya ingatkan di sini, segala perancangan yang dibuat tidak akan sempurna jika amalan rasuah masih berleluasa.

Saya pernah sebut dahulu bahawa saya datang ke Kuala Lumpur untuk memburu perasuah dan nampaknya saya telah berjaya jumpa.

Saya amat kecewa apabila berlakunya kes rasuah dalam Angkatan Tentera Malaysia hingga ke peringkat tertinggi.

Agaknya selepas ini saya patut lantik sarjan sahaja menjadi PAT.

Ini hanyalah “sekelumit daripada segunung” atau “the tip of the iceberg.”

Saya yakin ada ramai lagi di luar sana, sama ada di Jabatan Kastam, imigresen, polis dan sebagainya -termasuk juga yang berada dalam dewan ini, yang akan terus diburu sampai jumpa.

Amalan rasuah mesti diperangi secara besar-besaran. Rakyat harus menjadi mata-mata dan melaporkan sebarang bentuk jenayah rasuah.

Bukan sahaja penerima yang patut disiasat, tetapi pemberi rasuah dan ejen yang bersubahat juga mesti dikenakan tindakan.

Pihak SPRM mesti menjalankan siasatan dengan cepat, tegas dan sempurna tanpa mengira pangkat atau kedudukan.

Kerajaan juga perlu menyediakan hakim berpengalaman dan laluan khas di mahkamah supaya perbicaraan kes rasuah dapat diselesaikan segera.

Kepada semua ahli Yang Berhormat dan penjawat awam, ingatlah bahawa jawatan yang disandang adalah amanah rakyat dan negara.

Jika awak menyalahguna kuasa, menyeleweng dana awam, menerima rasuah atau bersubahat melindungi perasuah, awak adalah “pengkhianat negara.”

Selain dari itu, negara turut berhadapan dengan ancaman moden terhadap keselamatan digital, integriti maklumat serta teknologi "deep-fake" yang mampu membuka ruang kepada kes penipuan dan menggugat kestabilan sosial.

Ancaman jenayah berat dan keganasan, serta perbuatan yang menyentuh “3R”, hendaklah turut ditangani dengan berkesan.

Oleh yang demikian, undang-undang berhubung keselamatan negara dan ancaman luar negara wajar diwujudkan segera kerana hanya dengan cara ini, keharmonian antara semua kaum dan kedaulatan negara dapat dipelihara.

Saya turut mengalu-alukan usaha mengukuhkan undang-undang berkaitan pilihan raya, institusi demokrasi dan pendanaan politik.

Ini termasuk usaha menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal atau 10 tahun, mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, pengenalan Akta Kebebasan Maklumat serta penubuhan institusi Ombudsman.

Sistem pendidikan negara juga perlu terus diperkasa sebagai asas pembinaan bangsa, jati diri dan masa hadapan negara.
'
Jika hendak membina sistem pendidikan yang baharu, ia mesti selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan bahasa Melayu mesti menjadi bahasa utama kerana ianya adalah bahasa kebangsaan.

Oleh itu, sebarang usul untuk mengiktiraf apa jua sistem pendidikan lain mestilah menerima bahasa Melayu dan sejarah Malaysia.

Kalau ada yang tidak menerima bahasa Melayu, lebih baik jangan duduk di Malaysia.

Saudara-saudari sekalian,

Asas kepada pembentukan Malaysia adalah melalui Perjanjian Malaysia 1963.

Ia telah menyatukan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak sebagai sebuah negara.

Kita sewajarnya kembali kepada niat asal pembentukan Malaysia, iaitu perpaduan dan hormat-menghormati serta kerjasama erat antara negeri-negeri dan kerajaan Persekutuan.

Yang berhormat sekalian hendaklah lebih berhati-hati supaya tidak menghasut sehingga wujud ketegangan antara wilayah.

Sebarang perbezaan pandangan harus diselesaikan secara matang dan bukan menerusi kebencian atau syak wasangka.

Hakikatnya, hak-hak negeri perlu sentiasa dihormati. Namun begitu, kepentingan Malaysia secara bersama hendaklah sentiasa diutamakan.

Saya juga ingin mengingatkan kepada semua ahli Yang Berhormat bahawa setiap perbahasan, keputusan dan undian yang dibuat di dalam dewan ini bukan sahaja merupakan pendirian politik parti, tetapi bakal menentukan masa depan kita.

Oleh itu, laksanakan tugas ini dengan penuh amanah, bijaksana dan bertanggungjawab demi kepentingan seluruh rakyat.

Akhir kata, marilah kita berdoa agar Malaysia terus maju dan makmur, aman damai, serta seluruh rakyatnya menikmati kehidupan yang sempurna, bahagia dan sejahtera.

Sekian, wabillahi taufik walhidayah.

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.





#Yang di-Pertuan Agong #Sultan Ibrahim #titah agong #Istiadat pembukaan Parlimen