KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu merangka dasar pengurusan ekonomi yang berbentuk holistik bagi memastikan pemulihan segera ekonomi menerusi penggubalan dasar yang mesra perniagaan dan pelaburan, sepertimana dititahkan Yang di-Pertuan Agong hari ini.

Ketua Unit Penyelidikan Risiko Ekonomi dan Politik, Univerisiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin berpandangan, titah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah juga selari dengan konsep Keluarga Malaysia dan Kabinet yang berorientasikan hasil.

"Sebagai contoh kalau bercakap berkenaan usaha untuk mengatasi masalah atau cabaran yang diterima rakyat atau peniaga, pemberian bantuan secara 'one-off' atau geran itu baik. Tetapi mungkin ketika ini kita memerlukan satu idea di luar kotak.

"Ia supaya kita dapat memastikan bantuan-bantuan tersebut bukan sahaja dapat memberikan satu kelegaan dalam jangka masa pendek, malah memberikan peluang kepada peniaga dan sektor-sektor yang terjejas seperti pelancongan, perhotelan, serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dapat membina keupayaan mereka untuk bangun kembali dan menjadi lebih baik," katanya kepada Astro AWANI, hari ini.

BACA: Wakil rakyat, agensi kerajaan diminta turun padang, selami isu rakyat secara lebih dekat

Tambah beliau, pemerkasaan teknologi digitalisasi dan ekonomi yang berbentuk kitaran mampu menjana pendapatan baharu ke arah pelaburan yang lebih lestari.

"Sama juga dengan sektor pertanian, kita tahu dari segi rantaian pembekalan terjejas.

"Maka, pelaksanaan teknologi akan memberikan peningkatan pendapatan dalam industri pertanian. Ini semua bagi saya sangat penting.

"Satu lagi yang signifikan ialah penumpuan kepada usaha mewujudkan peluang pekerjaan, terutamanya golongan muda. Ini saya perkara yang perlu ditekankan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), supaya ada usaha nak melihat sektor baharu dapat diwujudkan," katanya.

Dalam perkembangan sama, Irwan Shah berpendapat kerajaan juga disaran meneliti dari segi perbelanjaan infrastruktur yang berbentuk fizikal dan digital.

Selain itu, usaha perlu digembleng untuk memperkasakan komuniti.

Langkah tersebut katanya, sebagai persiapan untuk Malaysia mencapai negara berpendapatan tinggi.